Nahas MH17: Pesawat Singapura 90km dari MH17

Singapura: Pesawat milik Singapore Airlines (SIA) disahkan berada pada jarak 90 kilometer dari MH17 sebelum kapal terbang milik Penerbangan Malaysia (MAS) itu ditembak jatuh di ruang udara Donestk, Ukraine, bulan lalu.

Menteri Pengangkutan Singapura, Lui Tuck Yew, berkata pesawat SQ351 dalam perjalanan menuju republik itu dari Copenhagen, Denmark dan berada dalam jarak hanya beberapa minit dari lokasi MH17 ditembak.

“Ketika MH17 terhempas, pesawat SQ351 dari Copenhagen dianggarkan pada jarak kira-kira 90 kilometer. Tiada sekatan dikenakan ke atas pesawat yang terbang pada ketinggian lebih 32,000 kaki (9,800 meter), malah tiada maklumat ancaman diberi kepada pesawat yang terbang pada ketinggian itu.

“SIA, seperti kebanyakan syarikat penerbangan yang mengendalikan laluan Eropah ke Asia, menggunakan ruang udara berkenaan. Sebaik SIA mengetahui tragedi itu, mereka dengan segera menukar semua laluan penerbangan dan mengelak memasuki ruang udara Ukraine,” katanya di sidang Parlimen republik itu, semalam.

Dalam kejadian pada 17 Julai lalu, semua 298 kru dan penumpang pesawat MH17 maut selepas kapal berkenaan dipercayai ditembak peluru berpandu darat ke udara.


Papar imej terakhir MH17
Sejam selepas insiden itu, laman web Flightradar24 memaparkan imej menunjukkan kedudukan terakhir MH17 adalah antara pesawat SQ351 dan pesawat Air India AI113 yang dalam perjalanan dari New Delhi ke Birmingham.

Tuck Yew dalam jawapannya itu turut mempertahankan tindakan SIA terus menggunakan laluan berkenaan walaupun selepas pesawat tentera Ukraine ditembak jatuh kumpulan pemisah seminggu sebelum tragedi menimpa MH17.

“SIA sudah diarahkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura menyemak semula semua aspek keselamatan laluan pesawat miliknya,” katanya. - AFP