Boikot ikut emosi, bawa perpecahan - YADIM

KOTA BHARU: Tindakan memboikot produk dan jenama yang dikaitkan dengan Israel secara beremosi hanya akan memecah belahkan masyarakat khususnya umat Islam, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata perbuatan memboikot secara beremosi hanya akan membuat masyarakat terpesong daripada matlamat asalnya.

"Terdapat segelintir pihak yang emosional bukan sahaja memboikot malah bertindak melampau apabila memarahi individu yang tidak menyertai usaha mereka, selain menghukum dan mencerca pekerja syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

"Kita tidak boleh lari daripada menjadi emosional melihat anak-anak kecil terbunuh dalam keadaan menyedihkan. Cuma dalam membuat sesuatu tindakan yang baik, cara pun mesti baik. Jangan sampai emosi itu melangkau nilai akhlak dan prinsip yang dianjurkan Islam," katanya kepada pemberita selepas Simposium Antarabangsa Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh (FRSIS) 2014 di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan sebanyak 272 pelajar termasuk pelajar dari Brunei dan Filipina turut hadir.

Kempen memboikot produk, jenama dan perkhidmatan syarikat yang dikaitkan dengan Israel semakin mendapat sambutan di seluruh negara namun ia dicemari beberapa insiden tidak diingini seperti tindakan orang awam mengganggu premis terbabit dan menakut-nakutkan pekerjanya.

Asyraf Wajdi berkata umat Islam perlu bijak untuk memboikot produk, jenama atau perkhidmatan selain perlu terus mengekalkan adab dan akhlak seiring dengan ajaran Islam.
"Dari segi hukum, belum ada satu fatwa pun termasuk dari negeri-negeri yang mengharamkan secara tuntas produk-produk terbabit kerana secara prinsipnya, transaksi atau perniagaan dengan orang Yahudi ini adalah diharuskan dalam Islam.

"Hadis nabi ada sebut ‘aku membeli makanan daripada orang Yahudi dengan cara mencagarkan baju besi aku’. Dalam konteks yang disebutkan hadis ini, secara hukum asal tidak ada masalah (berurusan) selagi pendekatan atau kaedah transaksi itu bertepatan dengan prinsip syariah," katanya.