Orang Islam bebas tikam ekor


KUALA LUMPUR: Walaupun ada undang-undang melarang umat Islam membeli nombor ekor, masih ramai yang bebas keluar masuk ke premis perjudian tanpa tindakan oleh pihak berkuasa. 

Mereka bebas membeli nombor ekor, sekali gus mendedahkan bahawa penguatkuasaan undang-undang bagi membendung gejala sosial yang turut diharamkan oleh Islam itu gagal.

Kelibat kaki judi itu tanpa segan silu dan mudah memasuki premis amat ketara sehingga ada kalanya bilangan mereka melebihi pelanggan bukan umat Islam.

Tidak cukup dengan itu, sebahagian mereka tanpa rasa malu menggunakan restoran atau kawasan umum untuk berkumpul bagi berbincang bagi aktiviti 'cai' atau meramal nombor yang boleh dimenangi.

Ini menimbulkan persoalan sejauh mana tahap penguatkuasaan pihak yang dipertanggungjawabkan dalam membendung aktiviti itu, terutama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, hampir semua negeri mewartakan undang-undang umat Islam mengunjungi premis nombor ekor dan pusat perjudian mengikut Enakmen Jenayah Syariah berkaitan amalan judi. 

Tinjauan selama dua hari di sekitar Gombak, Cheras, Bangsar dan Sentul mendapati, ramai kaki judi beragama Islam masuk ke premis itu seperti tidak melakukan kesalahan.

Secara puratanya, sepanjang tempoh sejam tinjauan di sebanyak 20 premis, lebih 10 individu dipercayai beragama Islam dilihat memasuki premis terbabit.

Ada sebahagiannya cuba mengelak daripada dikesan sebagai orang Islam dengan memakai topi keledar, topi atau cermin mata gelap, selain mengunjungi premis itu pada waktu pagi sekitar jam 10 hingga 12 tengah hari pada hujung minggu, dipercayai ketika waktu itu kurang pelanggan berurusan. 

Lebih dikesali, ada premis meletakkan papan tanda yang jelas mengharamkan pembelian kepada orang Islam, namun langsung tidak diendahkan.

Temubual dengan ejen penjual nombor ekor di premis berkenaan pula menunjukkan sikap tidak acuh mereka apabila faktor 'pelanggan marah' dijadikan alasan utama tidak menghalang penjualan kepada orang Islam.

Sebahagian besar ejen mengakui mereka tahu ia satu kesalahan, namun undang-undang itu dipinggirkan dan langsung tidak dipedulikan. 

Seorang kaki judi dari Gombak yang juga kakitangan swasta ketika ditemui mengakui masalah kewangan antara punca utama menikam nombor ekor, selain mahu mencuba nasib.

Bapa kepada 13 anak yang terbabit dengan kegiatan itu sejak empat tahun lalu tidak risau apabila dimaklumkan dia boleh ditangkap kerana ada undang-undang melarang umat Islam mengunjungi premis judi.
Beliau juga mengakui faktor gagal menyelesaikan hutang sindiket pinjaman haram atau 'along' sebagai punca terjebak dalam kancah perjudian. 

Ikuti siri kedua pendedahan wartawan yang merakam gelagat pembeli nombor ekor di sekitar ibu negara esok.