‘Saya tak sehebat dia’


Pernah mendapat jolokan Jericho Rosales Malaysia, pelakon baru Shukri Yahaya sama sekali tidak pernah memikirkan wajahnya sama seperti pelakon yang dikatakan turut memberi kesan terhadap populariti yang dimilikinya kini.

Mengakui tiada langsung pengalaman dalam bidang lakonan, Shukri berkata, peluang bertemu pengarah terkenal Osman Ali membuka lembaran baru dalam hidupnya yang kini bergelar seorang pelakon. 

“Saya bukanlah datang daripada orang yang mempunyai pengalaman dalam bidang seni. Jujur saya katakan, saya memang tidak pernah terfikir akan terjun dalam bidang ini.

Semuanya berlaku secara kebetulan selepas saya bertemu Osman Ali di sebuah kedai.  

“Sembang punya sembang dia menawarkan saya berlakon walaupun tahu saya tiada pengalaman. Buat pertama kalinya saya berlakon dalam filem Jiwa Taiko. Sejak itu mula rasa seronok dan alhamdulillah rezeki saya semakin lancar dalam bidang ini.

“Pada awal dikenali menerusi drama bersiri Menjinak Ombak, ramai mula meneka muka saya mirip Jericho. Sering saya mendengar peminat menyamakan saya dengan Jericho.

“Walaupun gembira kerana ia adalah bonus untuk saya, jauh di sudut hati timbul juga rasa bimbang kerana saya masih baru dan banyak lagi perkara yang harus saya pelajari sedangkan Jericho pelakon berbakat yang sudah lama popular di negaranya.

“Justeru saya tidak mahu apabila disamakan dengannya, peminat kecil hati kerana lakonan saya tidak sehebat Jericho,” katanya.

Empat tahun terbabit dalam bidang lakonan, namun masih ramai yang tidak mengenali Shukri, malah hanya beberapa drama saja yang membuatkan penonton mengingatinya.

Pun begitu, anak jati Kuala Lumpur ini tidak pernah berputus asa kerana mengakui dirinya adalah seorang penganggur sebelum terbabit dalam lakonan.

“Ketika bertemu dengan Osman, saya tiada kerja. Apabila dia menawarkan untuk berlakon, saya terima saja meskipun rasa bimbang tidak dapat melakukannya.

“Namun, saya berpegang kepada satu perkara, apa juga yang kita lakukan ia adalah pekerjaan dan saya harus melakukan kerja itu dengan sebaiknya untuk memastikan tiada masalah berlaku kemudian kelak.

“Tambahan pula ketika itu saya tiada kerja, saya anggap ini peluang untuk membuktikan lakonan juga boleh dijadikan pekerjaan tetap jika kena dengan caranya,” katanya.

Tidak mahu ketinggalan dengan arus kemodenan teknologi maklumat, Shukri juga mengakui dirinya kini sedang belajar selfie di laman sosial selepas mendapati laman Instagram miliknya mula menjadi perhatian peminat.

“Sebenarnya saya bukanlah seorang yang suka dengan dunia selfie dan memberitahu apa aktiviti yang dilakukan sehari-hari. Namun, saya harus akur, sebagai orang yang dikenali dan sudah ada pengikut di laman sosial, saya perlu belajar semua ini demi berkongsi apa yang saya lakukan.

“Pada mula memang rasa janggal, tetapi lama kelamaan saya mula biasa menghadapi semua itu,” katanya.

Berkongsi cerita karier terbarunya, Shukri turut bergandingan dengan Nur Risteena, Talha Harith dan Zoey Rahman dalam drama bersiri terbaru TV3, Slot Aksi berjudul Plan B.

Pernah berlakon dengan Risteena dan Talha dalam Menjinak Ombak sebelum ini, Shukri berkata, masing-masing tidak mengalami sebarang masalah untuk menghayati watak diberikan.

“Saya selesa berlakon dengan mereka semua. Walaupun masing-masing masih baru, setiap mereka ada kelebihan dalam menonjolkan watak yang diberikan.

Seperti saya sendiri, melakonkan watak sebagai Khai anak yang kurang perhatian daripada keluarga sehingga menyebabkan diri terjebak dengan jenayah, watak ini berbeza daripada watak yang pernah saya jayakan.

“Walaupun wajah saya tidaklah kerap keluar di televisyen, saya gembira setiap kali berlakon, watak yang diterima berlainan dan saya yakin boleh memberi kesan kepada penonton. Saya juga berharap akan terus diberi peluang melakonkan watak mencabar seperti ini lagi pada masa akan datang,” katanya.