Konsert Pertama Ning Di Singapura!


Setelah berjaya mengadakan Konsert Pelangi Untukmu pada tahun lalu, Ning Baizura sekali lagi bakal mengadakan konsert yang seterusnya, Rainbow For You Concert. Kali ini bukan di Malaysia tetapi di seberang tambak iaitu Singapura.

Mengekalkan konsep yang sama seperti konsert sebelum ini iaitu Up Close and Personal, Ning mahu berkongsi cerita perjalanan karier seninya semenjak tahun 1993 dengan peminat. "Ini konsert pertama saya di Singapura dan saya sangat teruja untuk membuat persembahan di sana. Lebih-lebih lagi bertemu dengan peminat di sana yang selama ini banyak menyokong saya. Konsert ini berinspirasikan kekuatan wanita, jadi itu mesej yang ingin saya sampaikan dan kongsi bersama peminat", ujar Ning.

Konsert yang bakal diadakan di Esplanade pada 30 Ogos ini akan menyaksikan persembahan hebat dari Ning Baizura semestinya. "Konsert akan berlangsung selama dua jam setengah tanpa henti dan bergantung bagaimana penonton malam tersebut. Jika mereka supporting untuk menyanyi bersama saya, bergelak tawa bersama saya, ia mungkin akan panjang. Nama pun up close and personal kan? Saya nak ia sebuah konsert yang dekatkan saya dengan peminat. Santai-santai dan bergurau dengan mereka", kata Ning yang akan menyampaikan lebih 20 buah lagu.

Sebenarnya Ning sememangnya mengimpikan untuk membuat konsert di Esplanade dan akhirnya berjaya direalisasikan. "Akhirnya dapat juga saya mengadakan persembahan di Esplanade. Saya harap persembahan saya nanti tidak menghampakan penonton dan mereka juga tidak menghampakan saya. Tidak sabar untuk saya berjumpa mereka semua 30 Ogos ini".

Bersempena hari kemerdekaan yang bakal disambut, Ning turut melahirkan rasa kesyukuran dengan kemajuan negara kita, Malaysia. Harapan Ning moga Malaysia sentiasa makmur dan sejahtera hendaknya.