Chong Wei teruskan kemaraan di kejohanan dunia


COPENHAGEN: Walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mempamerkan aksi kelas tersendiri pada Kejohanan Badminton Dunia BWF 2014 yang berlangsung di sini.

Dalam aksi pembukaan di Ballerup Super Arena, di sini pada Isnin, perseorangan lelaki nombor satu dunia itu hanya mengambil masa 45 minit untuk mengalahkan pemain muda Korea Selatan, Lee Dong Keun dengan kemenangan 21-11 dan 21-12.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan, Chong Wei menjelaskan, beliau berpuas hati dengan corak permainannya yang disifatkannya normal walaupun tidak berada pada prestasi terbaik.

"Saya cuba beri persembahan yang terbaik walaupun hampir dua bulan tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan kompetitif. Mungkin tidak sepenuhnya tapi saya masuk gelanggang dan terus melupakan kecederaan yang saya alami," katanya.

Anak jati Pulau Pinang itu berkata beliau mengamalkan corak permainan agresif pada perlawanan tersebut kerana menganggap kesemua perlawanan dalam Kejohanan Dunia adalah penting dalam usahanya memburu gelaran sulung.

Menyentuh aksi pusingan kedua Rabu ini, Chong Wei berkata beliau menghormati lawannya, Dieter Domke walaupun pemain tinggi lampai dari Jerman itu pernah kalah dua kali kepadanya sebelum ini.
"Yang penting bagi saya adalah tidak memandang rendah mana-mana lawan yang saya hadapi dan kekal fokus," katanya.

Domke terpaksa berhempas pulas sebelum mencatatkan kemenangan 26-24, 13-21, dan 21-18 ke atas pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, Kashyap Parupalli dari India dalam satu lagi perlawanan pusingan awal.

Seorang lagi wakil negara, Chong Wei Feng yang diletakkan selaku pilihan ke-16 akan bertemu semifinalis Sukan Komanwel 2014, Rajiv Ouseph dari England pada pusingan awal hari ini. - BERNAMA