Tindakan tegas ajar pihak sebar berita palsu

Penipuan kes wabak Ebola undang panik, jejas keamanan

Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan dalam media sosial gambar seorang kanak-kanak yang melepuh kedua-dua kakinya kononnya penghidap virus Ebola menjadikan orang ramai panik dan tertanya-tanya; adakah Malaysia sudah diserang virus maut yang amat menakutkan itu?

Amat melegakan apabila Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menafikan laporan yang kononnya ada satu kes jangkitan Ebola di negara ini seperti yang tersebar dalam laman sosial, termasuk Facebook.

Beliau menegaskan, tiada sebarang kes kuarantin bagi penyakit itu dilakukan dan menyelar tindakan pihak yang menyebarkan khabar angin berkenaan. "Risiko penularan Ebola ke Malaysia amat rendah. Jangan sebar berita palsu," katanya menerusi akaun Twitter.

Apa itu Ebola
Ebola adalah sejenis penyakit demam berdarah yang mencatat kadar kematian tinggi dan boleh menjangkiti manusia serta haiwan primat seperti monyet. Sejak dikesan di tiga negara Afrika Barat iaitu Sierra Leone, Liberia dan Guinea pada Mac lalu, ia sudah mengakibatkan hampir 1,000 kematian. Masyarakat sepatutnya memahami sepenuhnya apa yang dikatakan penyakit Ebola ini bagi mengelakkan kekeliruan dan panik.

Penyakit Ebola yang juga dikenali sebagai EVD adalah penyakit disebabkan jangkitan virus yang parah dengan menunjukkan ciri-ciri seperti selesema dan perdarahan dalaman yang teruk. Kadar untuk diselamatkan amat rendah kerana ketika ini antara 60 dan 90 peratus pesakit akan meninggal dunia.

Mengikut sejarahnya, Ebola mula dikesan pada tahun 1976 di Nzara, Sudan dan juga Yambuku, Zaire (Republik Demokratik Congo). Di Zaire, kampung di mana wabak Ebola mula dikesan berdekatan dengan sungai bernama Ebola. Di situlah nama virus ini mendapat namanya.

Kelawar buah dikatakan dikenal pasti menjangkitkan manusia dengan penyakit itu. Di Afrika, interaksi antara manusia dengan binatang seperti chimpanzi, gorila, monyet, antelop dan landak juga antara punca penyebab berjangkitnya virus Ebola ini kepada manusia.

Orang ramai juga perlu tahu apakah tanda-tanda atau simptom Ebola ini. Antaranya simptomnya ialah selesema, demam, sakit otot, kepala dan tekak serta muntah, cirit-birit, kegagalan ginjal atau buah pinggang berfungsi, pendarahan dalaman atau luaran. Virus ini mula menunjukkan kesan simptom antara dua hingga 21 hari selepas dijangkiti.

Cara jangkitan
Namun, Ebola bukanlah penyakit jangkitan udara. Ia berjangkit melalui sentuhan bendalir badan seperti darah. Pekerja kesihatan adalah golongan yang sangat berisiko tinggi jika tidak memakai peralatan dan pakaian yang selamat seperti topeng, gaun dan sarung tangan.

Ketika ini masih belum ada penawar bagi Ebola. Hanya beberapa vaksin yang masih lagi dalam eksperimen. Doktor kebiasaannya akan menyediakan penjagaan lebih rapi kepada pesakit termasuk bantuan oksigen, pemindahan darah dan rawatan mengelakkan jangkitan penyakit lain.

Mengikut data yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga 23 Julai lalu, sebanyak 1,711 kes Ebola disahkan berlaku di seluruh dunia, dengan jumlah kematian 932 orang.

Ketika ini, Sierra Leon, Guinea dan Liberia, semuanya negara di Afrika sudah menyaksikan penularan virus maut ini dengan jumlah kes yang tinggi, iaitu melebihi 1,000. Ia juga dilaporkan sudah menular ke Thailand, Filipina, Hong Kong, United Kingdom, Maghribi, Afrika Selatan, Nigeria dan Arab Saudi.

Ini menyebabkan syarikat penerbangan Emirates menghentikan perkhidmatannya ke Sierra Leone dan Guinea manakala British Airways pula tidak lagi ke Guinea.

Tangani secara serius
Pengarah Perubatan Wilayah, Corporate Sollution Asia, Dr Greg Jakubowski, berkata orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada memakan daging binatang yang dikatakan pembawa virus maut itu termasuk gorila, monyet dan chimpanzi.

Tindakan Malaysia memantau kedatangan rakyat Afrika ke negara ini dengan pemeriksaan kesihatan lebih ketat sekurang-kurangnya mengurangkan kebimbangan penularan wabak Ebola ke negara ini. Ia dilihat sebagai langkah penting demi keselamatan dan kesejahteraan semua.

Saranan Menteri Kesihatan, Datuk S Subramaniam supaya tindakan tegas dikenakan ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu mengenai wabak Ebola sudah menular di Malaysia juga perlu dilihat secara serius kerana ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang hanya akan menimbulkan perasaan panik di negara ini.