• =>

Malaysia Kalah 1 -3 Kepada Vietnam Aksi Perlawanan Antarabangsa


KUALA LUMPUR : Skuad Harimau Malaya terus mempamerkan aksi mengecewakan pada aksi persahabatan antarabangsa selepas kalah 3-1 kepada Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam, pada Ahad.

Kekalahan itu merupakan yang keempat dicatatkan skuad kendalian Dollah Salleh yang sebelum ini tewas dalam tiga aksi persahabatan terdahulu.

Mereka kalah 4-1 kepada Tajikistan di Stadium Central Dushanbe, Tajikistan pada 8 Ogos selain kecundang 2-0 kepada Indonesia pada 14 September lepas di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia.

Skuad Harimau Malaya turut diaibkan dengan kekalahan 3-0 kepada skuad Bawah 23 (B-23) Syria pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Rabu lepas.

Malaysia hanya mencatatkan satu kemenangan iaitu mengalahkan Kemboja 4-1 di Stadium Shah Alam pada 20 September lepas.

Pada aksi hari Ahad, kedua-dua pasukan saling mengasak bagi mencari gol awal namun skuad negara berjaya mendahului pada minit ke-22 menerusi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Amri Yahyah yang bijak menyudahkan hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan tuan rumah kembali memperkemas corak permainan bagi mencari gol penyamaan namun dihampakan oleh ketumpulan jentera serangan dan keputusan itu kekal sehingga berakhir separuh masa.

Bersambung babak kedua, pasukan Vietnam menggandakan asakan ke kubu skuad negara dan mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mac Hong Quan pada minit ke-47.

Selang seminit kemudian, skuad negara ditimpa malang selepas pemain pertahanan, Mohd Muslim Ahmad dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan kerana mengasari pemain Vietnam.

Kekurangan 10 pemain dimanfaatkan sepenuhnya pasukan tuan rumah yang menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti oleh Nguyen Van Quyet pada minit ke-56.

Sepakan penalti itu diberikan oleh pengadil selepas pemain pertahanan, Mahalli Jasuli menjatuhkan Van Quyet di dalam kotak penalti skuad negara.

Pemain tengah, Ngo Hoang Thinh mengesahkan kemenangan mutlak Vietnam pada minit ke-81 selepas beliau menyambar bola yang gagal ditampan kemas oleh penjaga gol skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Perlawanan berkenaan merupakan sebahagian daripada persiapan skuad negara untuk menghadapi Piala AFF Suzuki di Singapura dari 23-29 November ini.

Malaysia yang diundi dalam kumpulan B akan memulakan kempen kejohanan berdepan Myanmar pada 23 November disusuli aksi kedua menentang Thailand (26 November) dan kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Skuad negara akan menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang Singapura di Stadium Nasional Singapore Sports Hub pada 29 November ini.

Harimau Muda Jangan Lakukan Tindakan Bodoh – KJ




Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengingatkan pemain Harimau Muda tidak melakukan tindakan bodoh yang boleh menjejaskan prestasi mereka ketika beraksi dalam perlawanan. Mengulas mengenai Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang dibuang padang kerana meludah pemain lawan ketika menentang Timor Leste pada aksi pertama Kumpulan B Sukan SEA 2015 di Singapura pada Sabtu, katanya insiden tersebut amat dikesali.

“Pemain-pemain kita mestilah tahu apabila mereka bertindak seperti semalam (Sabtu), bukan hanya dapat kad merah dan sebagai individu tidak dapat sambung permainan tetapi yang lebih penting mereka akan mengecewakan pasukan sendiri dan negara. Bermain tanpa seorang pemain itu satu kelemahan dalam pasukan dan walaupun Harimau Muda itu pemain muda namun usia muda tidak bermaksud bahawa awak bodoh”, tegasnya.

Dalam perlawanan di Stadium Bishan malam tadi, susulan kehilangan seorang pemain kerana dibuang padang, pasukan Malaysia mempamerkan aksi tempang dengan 10 pemain dan hanya menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste. Khairy turut menggesa skuad Harimau Muda memperkemas mutu persembahan mereka untuk berdepan pasukan Vietnam dan Thailand pada perlawanan akan datang yang dijangka memberi tekanan lebih hebat berbanding Timor Leste.

“Saya harap pemain-pemain kita dan jurulatih Datuk Ong Kim Swee dapat mengambil iktibar daripada perlawanan semalam dan mengurangkan kesilapan untuk tunjukkan aksi sebenar. Saya yakin semalam bukanlah aksi sebenar Harimau Muda dan yakin mereka dapat pamerkan aksi yang lebih baik daripada semalam,” katanya.

Nazmi Mungkin Dihantar Pulang Walau Mohon Maaf


Ketua Jurulatih Skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee masih mempertimbangkan untuk menghantar Mohd Nazmi Faiz Mansor pulang jika didapati bersalah walaupun sudah memohon maaf. Pemain tengah skuad kebangsaan itu bertindak meludah pemain Timor Leste Filipe Oliviera pada perlawanan pembukaan bagi kumpulan B di Sukan SEA, Sabtu lalu. Malaysia menang tipis 1-0.
Kim Swee yang berang dengan insiden kad merah melibatkan Nazmi Faiz itu berkata, dia akan menunggu keputusan daripada jawatankuasa tatatertib bola sepak Sukan SEA sebelum membuat keputusan untuk menghantar Nazmi pulang ke Malaysia.

“Ia perbuatan yang memalukan untuk melakukan perkara seperti itu dan saya telah memberitahu Nazmi bahawa perkara ini masih belum selesai. Saya menjelaskan kepadanya bahawa saya mungkin akan menghantarnya pulang atau mendenda Nazmi dan saya juga memberitahunya supaya bersedia dengan apa-apa tindakan yang akan dikenakan,” kata Kim Swee.

Sementara itu, pemain berusia 20 tahun itu berkata, tindakan yang membuatkan dia dibuang padang itu merupakan reaksi spontan selepas menerima terjahan Filipe.

“Saya akan meludah ke mukanya sekiranya saya benar-benar mahu melakukannya tetapi saya tidak buat sedemikian kerana itu bukanlah niat saya. Insiden ini akan menjadi pengajaran buat saya dan saya berharap akan menjadi pemain yang lebih baik selepas ini. Saya juga ingin memohon maaf kepada rakan sepasukan kerana mereka terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 orang,” kata pemain Selangor itu.