Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin
mengingatkan pemain Harimau Muda tidak melakukan tindakan bodoh yang boleh
menjejaskan prestasi mereka ketika beraksi dalam perlawanan. Mengulas mengenai
Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang dibuang padang kerana meludah pemain lawan
ketika menentang Timor Leste pada aksi pertama Kumpulan B Sukan SEA 2015 di
Singapura pada Sabtu, katanya insiden tersebut amat dikesali.
“Pemain-pemain kita mestilah tahu apabila mereka
bertindak seperti semalam (Sabtu), bukan hanya dapat kad merah dan sebagai
individu tidak dapat sambung permainan tetapi yang lebih penting mereka akan
mengecewakan pasukan sendiri dan negara. Bermain tanpa seorang pemain itu satu
kelemahan dalam pasukan dan walaupun Harimau Muda itu pemain muda namun usia
muda tidak bermaksud bahawa awak bodoh”, tegasnya.
Dalam
perlawanan di Stadium Bishan malam tadi, susulan kehilangan seorang pemain
kerana dibuang padang, pasukan Malaysia mempamerkan aksi tempang dengan 10
pemain dan hanya menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste. Khairy turut menggesa
skuad Harimau Muda memperkemas mutu persembahan mereka untuk berdepan pasukan
Vietnam dan Thailand pada perlawanan akan datang yang dijangka memberi tekanan
lebih hebat berbanding Timor Leste.
“Saya harap pemain-pemain kita dan jurulatih Datuk
Ong Kim Swee dapat mengambil iktibar daripada perlawanan semalam dan
mengurangkan kesilapan untuk tunjukkan aksi sebenar. Saya yakin semalam
bukanlah aksi sebenar Harimau Muda dan yakin mereka dapat pamerkan aksi yang
lebih baik daripada semalam,” katanya.