Ketua Jurulatih Skuad Bawah 23 tahun
(B-23), Datuk Ong Kim Swee masih mempertimbangkan untuk menghantar Mohd Nazmi
Faiz Mansor pulang jika didapati bersalah walaupun sudah memohon maaf. Pemain
tengah skuad kebangsaan itu bertindak meludah pemain Timor Leste Filipe
Oliviera pada perlawanan pembukaan bagi kumpulan B di Sukan SEA, Sabtu lalu.
Malaysia menang tipis 1-0.
Kim Swee yang berang dengan insiden
kad merah melibatkan Nazmi Faiz itu berkata, dia akan menunggu keputusan
daripada jawatankuasa tatatertib bola sepak Sukan SEA sebelum membuat keputusan
untuk menghantar Nazmi pulang ke Malaysia.
“Ia perbuatan yang memalukan untuk
melakukan perkara seperti itu dan saya telah memberitahu Nazmi bahawa perkara
ini masih belum selesai. Saya menjelaskan kepadanya bahawa saya mungkin akan
menghantarnya pulang atau mendenda Nazmi dan saya juga memberitahunya supaya
bersedia dengan apa-apa tindakan yang akan dikenakan,” kata Kim Swee.
Sementara itu, pemain berusia 20
tahun itu berkata, tindakan yang membuatkan dia dibuang padang itu merupakan
reaksi spontan selepas menerima terjahan Filipe.
“Saya akan meludah ke mukanya
sekiranya saya benar-benar mahu melakukannya tetapi saya tidak buat sedemikian
kerana itu bukanlah niat saya. Insiden ini akan menjadi pengajaran buat saya
dan saya berharap akan menjadi pemain yang lebih baik selepas ini. Saya juga
ingin memohon maaf kepada rakan sepasukan kerana mereka terpaksa menamatkan
perlawanan dengan 10 orang,” kata pemain Selangor itu.