Skuad olahraga enggan pulang tangan kosong


Nanjing: Skuad olahraga pelapis negara di temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) yang secara rasmi bermula Isnin ini enggan pulang dengan ‘tangan kosong’, sebaliknya nekad meraih pingat tanpa mengira warna pada cabaran edisi kedua penganjuran sukan remaja terbesar dunia itu.

Atlet lompat tinggi negara, Norshafiee Mohd Shah berkata, walaupun tidak diletakkan sandaran, dia tetap berhasrat menjadi antara penyumbang pingat bagi mengharumkan nama negara di pentas sukan dunia. 

“Saya sedar bahawa kejohanan ini bertaraf tinggi namun itu bukan alasan untuk kami sebagai atlet pelapis negara gentar kepada lawan.

“Kalau boleh saya ingin membawa pulang pingat tanpa mengira warna walaupun di atas kertas ia agak mustahil kerana ramai atlet handalan dunia seperti dari Russia, Australia dan Belanda yang akan memberi cabaran hebat nanti,” katanya semalam.  

Norshafiee, 17, yang akan memulakan saingan peringkat awal pada Rabu Ogos) ini berkata keyakinan itu berdasarkan pencapaiannya meraih tempat kedua dengan lompatan setinggi 2.06m pada Kejohanan Olahraga Kelayakan Asia di Thamassat, Thailand pada Mei lalu.