KUALA LUMPUR: Pelakon Nad Zainal menafikan beliau dan Hefny Sahad
pernah menjalinkan cinta sebaliknya hanya sekadar tahap mengenal hati
budi.
Kenyataan pelakon genit itu agak klise kerana sebelum ini mereka dilihat sudah dilamun asmara sejak empat bulan lalu.
Hubungan pasangan ini diketahui sejurus kisah cinta Nad dengan Azwan
Kombos berakhir. Terbaru bertebaran pula kisah kononnya menyerang Hefny
di lokasi penggambaran drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna arahan Shuhaimi
Lua yang diterbitkan Zeel Production bagi siaran TV3 slot Akasia bermula
2 September ini.
Dek insiden yang digembar-gemburkan itu, timbul pula dakwaan yang
pasangan ini sudah putus cinta. BH Online menghubungi Nad untuk
bertanyakan hal ini. Ikuti penjelasannya.
"Memang kami belum sampai tahap bercinta. Apa-apa yang tidak pasti
berkaitan dengan dia (Hefny) memang tak keluar kenyataan. Mungkin
sebelum ini dia yang keluar kenyataan terlalu awal mengenai kami. Benda
yang tak pasti ini saya sendiri tak suka cakap. Lainlah kalau sudah sah
kami menjalinkan hubungan.
"Hal sebegini hanya mengganggu kerja saja. Apa yang terjadi ini
memberi pengajaran dalam hidup saya supaya tidak terlalu terbuka
berkongsi mengenai cerita peribadi. Mungkin selepas ini, saya lebih suka
diam saja mengenai hal peribadi. Tahu-tahu sudah kahwin," katanya.
Ketika ini, Nad sedang melunaskan baki penggambaran drama episod 13
episod berjudul Jalan Mati di samping Remy Ishak, Nabila Huda dan Kamal
Adli. Ia akan menghiasi slot Aksi di TV3 sekitar September depan.
Penggambaran drama arahan Kabir Bhatia ini dijangka selesai bulan depan
juga.
"Alhamdulillah daripada segi kerjaya memang saya tak putus mendapat
tawaran. Saya dapat cerita yang baik termasuk dapat berlakon dengan
pelakon hebat. Contohnya untuk drama Jalan Mati ini saya dapat berlakon
dengan Nabila Huda. Memang sudah lama saya idam untuk berlakon
dengannya.
"Cuma soal peribadi, ia masih belum menyebelahi saya. Tak apalah,
biar saya fokus kerjaya saya. Buat pening kepala saja fikirkan benda
yang tak pasti. Saya tak mahu biar soal peribadi ini terus mengganggu
gugat kerjaya seni. Ramai kawan sudah nasihatkan saya pun," katanya.
Mengenai dakwaan menyerang Hefny di set penggambaran itu, Nad mengakui dia masih waras untuk membezakan perkara bijak dan bodoh.
"Bodohlah saya kalau buat begitu. Saya takkan rosakkan periuk nasi
orang dan diri sendiri jika berbuat begitu (merujuk kepada dakwaan
menyerang Hefny). Dakwaan itu memang keterlaluan," katanya.