THE HAGUE: Dua lagi jenazah mangsa nahas MH17 warga Malaysia - satu
beragama Islam dan satu lagi Buddha - dijangka tiba di tanah air esok
(Ahad).
Kedua-dua jenazah akan dibawa oleh pesawat khas Malaysia Airlines
(MAS) pada 12 tengah hari Sabtu dan dijangka tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Ahad.
Difahamkan kedua-dua jenazah, yang identitinya belum boleh diumum
itu, sudah diletak di dalam keranda dan bekas abu mayat serta dipindah
ke Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol.
Pihak Kedutaan Malaysia di sini mengesahkan maklumat itu namun enggan mengulas lanjut.
Setakat ini, pihak berkuasa Belanda mengenal pasti 30 mayat rakyat
Malaysia mangsa nahas MH17, termasuk 20 yang sudah dibawa pulang ke
tanah air hari ini.
Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, dalam
perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas ditembak
jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu terdiri daripada
warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium,
Filipina, Kanada dan New Zealand. - BERNAMA