Langkah kanan Harimau Selatan


Johor Bahru: Juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan langkah kanan dalam perlawanan sulung Piala Malaysia apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kelantan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, di sini, malam tadi.

Jaringan tunggal Safiq Rahim pada minit ke-72 itu sekali gus memastikan skuad Harimau Selatan mengutip mata penuh untuk mengungguli Kumpulan C, selepas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pulau Pinang yang turut berada dalam kumpulan sama terikat 1-1 dalam di Stadium Selayang.

Pun begitu, saingan tumpuan ini seperti dijangka bermula dengan rancak. Tuan rumah lebih dulu berpeluang berada di depan apabila sayap kanan, Daudsu Jamaluddin berjaya mencipta peluang untuk Safee Sali pada minit ke-10, namun bola sepakan deras penyerang itu pantas diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.

Kelibat penyerang kebangsaan itu hanya dapat bertahan selama 15 minit apabila terpaksa dikeluarkan kerana cedera dan tempatnya diambil alih oleh Safiq. Skuad Harimau Selatan, nampak semakin menjadi apabila Hariss Harun dan Norshahrul Idlan Talaha banyak mengasak benteng Kelantan.