KUALA LUMPUR: Walaupun enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung
pendedahan perkahwinan rahsianya semalam oleh Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS), namun tindakan Alyah menggunakan foto dirinya bersama
Datuk Ramli MS sebagai gambar profil di aplikasi WhatsApp jelas
menunjukkan betapa penyanyi itu begitu selesa untuk berkongsi statusnya
sebagai isteri kepada pengarah muzik dan komposer terkenal itu.
Gambar berkenaan memperlihatkan kedua-duanya seperti berada di sebuah
bilik tatarias apabila Alyah kelihatan bersolek di depan cermin
manakala Ramli pula sedang memperkemaskan butang kotnya.
Sebelum insiden 'terjahan' ke kediaman Ramli di Bandar Kinrara, di
sini, membabitkan pihak JAIS berlaku pagi semalam, Alyah hanya
meletakkan gambar dirinya di aplikasi terbabit.
Penyanyi Kisah Hati dan Tak Mungkin Kerana Sayang itu juga dilihat mengemaskini statusnya di aplikasi berkenaan, sejam lalu.
Status yang berbunyi 'Aku Gantungkan Semua Kepadamu' bagai
menyampaikan luahan isi hatinya, yang mahu Ramli sendiri memberikan
penjelasan berhubung perkahwinan rahsia mereka yang difahamkan
berlangsung di Batam, Indonesia tahun lalu.