Khalid hanya boleh disingkir jika langgar hukum syarak dan undang-undang - Majlis Syura Ulama PAS


KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS memutuskan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya boleh disingkir jika terbukti beliau melanggar hukum syarak dan undang-undang negara.

Keputusan itu berdasarkan Fasal 3 Perlembagaan PAS, bahawa dasar PAS ialah Islam, dan Fasal 6(2) bahawa antara usaha PAS adalah "memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara".

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, majlis itu yang bersidang di Kota Bharu malam tadi telah membuat keputusan berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din.

Ia juga membuat ketetapan bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat untuk meneruskan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Berikutan itu, selagi tidak disabitkan sebarang salah laku yang mewajarkan beliau digugurkan, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Namun, jika ada pertuduhan yang disabitkan beliau bersalah selepas ini oleh pihak yang berkuasa seperti SPRM atau mahkamah, maka Majlis Syura Ulama bersedia menilai semula kedudukannya.