KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Gombak dan ibu negara akan
mengalami gangguan bekalan air berjadual selama dua hari mulai 2
September ini.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan
memaklumkan gangguan itu berikutan kerja-kerja menaik taraf sistem
mekanikal dan elektrik di Rumah Pam Wangsa Maju oleh Tenaga Nasional
Berhad (TNB).
Katanya sebanyak 101 kawasan di Gombak dan 36 kawasan di ibu negara
akan mengalami gangguan bekalan air itu dari 8 pagi pada 2 September
hingga 6 pagi, keesokan harinya.
Kawasan yang terjejas di Gombak antaranya, Desa Tun Hussein Onn,
Taman Bukit Setiawangsa, Keramat AU1 hingga AU5, Kampung Datuk Keramat,
Jalan Jelatek, Wangsa Melawati, Taman Permata, Bukit Mewah, Kemensah
Heights, Bukit Antarabangsa, Taman Sri Ampang, Bandar Baru Ampang, Taman
Sri Rampai, Ukay Heights dan Rampai Niaga Business Park.
Di ibu negara pula, kawasan terjejas termasuk Jalan Padang Tembak,
Taman Cempaka, Taman Shamelin, Taman Pandan Perdana, Desa Pandan, Taman
Kobena, sebahagian Taman Maluri, kawasan Pandan Utama dan Jalan Pandan
Mewah.
Syabas menasihati pengguna agar menyimpan air secukupnya sepanjang
tempoh gangguan dan menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel)
menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL
dan dihantar ke 39222 untuk pertanyaan lanjut.
Maklumat lanjut mengenai gangguan bekalan air sementara ini juga boleh layari laman web Syabas di www.syabas.com.my, www.twitter.com/puspel dan Facebook dengan menaip 'puspel' atau 'puspel syabas'.