Nabila Huda Panik!


Jika anda mengikuti perkembangan dua beranak ini, iaitu Amy Search dan Nabila Huda pasti sedar akan hubungan keduanya. Pada 1 Syawal lalu, Amy Search telah berkongi dengan pengikutnya di laman Instagram iaitu gambar bersama anak tersayang siapa lagi kalau bukan Nabila Huda. Menerusi gambar tersebut, Amy melahirkan rasa gembiranya.

“Ya Allah terima kasih... Alhmdulillah... kerna Kau kurniakan doa ku dan kebahagian yang aku inginkan di pagi syawal dan di hari lahirku ini... Aameen YRA”

“Terima Kasih Allah kerna kembalikan dia dalam dakapan ku..”

Begitulah kapsyen yang ditulis oleh Amy. Kami sempat menemubual Nabila untuk mendapatkan komen tentang kegembiraan yang telah dikongsikan oleh bapanya melalui panggilan telefon. Namun Nabila menjawab ringkas sahaja.

“Alhamdullilah saya gembira menyambut Syawal tahun ini. Maaf, saya tidak mahupun memberi kenyataan mengenai perkara tersebut. Saya minta maaf sangat-sangat. Kalau boleh kita cerita pasal Saloma Biopic”, pinta Nabila.

Namun Nabila sempat juga menjawab soalan mengenai bapanya itu. “Lima perkataan tentang Amy Search ya? My life superhero, loving, handsome, kelakar dan chef terbaik!”.

Bercerita mengenai Saloma Biopic, Nabila sebenarnya terkejut dengan tawaran yang diterima. “Pada awalnya Kak Lis (Melissa Saila), meminta saya untuk hadir uji bakat untuk filem pendek Saloma. Saya sebenarnya tidak berapa yakin tetapi saya cuba jugalah. Selepas beberapa minggu saya rasa seperti tidak dapat dan dalam hati saya kata, tidak mengapalah. Tidak lama kemudian Kak Lis hubungi saya dan memberitahu saya dapat watak Saloma. Apa lagi saya terus mengelabah dan panik. Saya beritahu Kak Lis, betul ke saya dapat? Boleh ke saya bawa watak Saloma. Mana tidak, Saloma seorang Biduanita Negara, bukan calang-calang ya. Tetapi Kak Lis tetap memberitahu bahawa saya boleh”, ujar Nabila.

Bagi menghayati watak Saloma, Nabila telah diberi banyak rujukan terutama daripada Melissa Saila, selaku pengarah. “Alhamdullilah sepanjang penggambaraan semua berjalan lancar. Saya amat terima kasih kepada produksi Kus Semangat Actor dan semestinya Melissa Saila yang memilih saya untuk membawakan watak Saloma. Saya rasa sangat bertuah kerana terpilih dan saya akan jadikan ini pengalaman yang cukup bermakna buat saya. Ia sebuah kenangan dan seperti untuk profile saya sepanjang saya menjadi pelakon yang boleh saya bawa sehingga saya tua kelak”, tutur Nabila.

Bagi anda yang mahu melihat bagaimana Nabila menjelma sebagai Saloma, saksikannya di  Astro First pada 28 Ogos 2014 ini.