Kuala Lumpur: “Saya berterima kasih kepada pegawai Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membantu menyelamatkan suami saya yang
menjadi mangsa langgar lari,” kata Nurliyana Mohd Norwi, 21.
Dalam kejadian jam 9.30 malam, 15 Ogos lalu, mangsa, prebet Ridwan
Ismail, 25, yang bertugas di Kem Tentera Kementah, Jalan Semarak
mengalami kecederaan parah di kepala akibat dirempuh motosikal di
persimpangan Festival City, Danau Kota, di sini.
Kejadian itu menyebabkan mangsa yang menaiki motosikal terpelanting jatuh sebelum diselamatkan pegawai JPJ, Zamri Zainal Abidin yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Nurliyana berkata, suaminya yang dihantar mendapatkan rawatan di
Hospital Kuala Lumpur (HKL) selamat menjalani pembedahan kaki, kelmarin.
Menurutnya, suaminya itu mengalami hentakan kuat di kepala dan kecederaan di bahagian lutut kaki kanannya akibat terhumban.
“Alhamdulillah kesihatannya kini semakin baik. Dia kini sudah boleh bercakap,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Dalam kejadian sebelum ini, Ridwan yang pengsan sempat diriba Zamri
sementara menunggu ketibaan ambulans. Ditanya berhubung status
kemalangan suaminya itu, Nurliyana berkata, polis masih menjejaki
individu yang merempuh suaminya itu.
“Saya difahamkan, individu terbabit belum membuat laporan polis, sekaligus menyukarkan polis melakukan siasatan,” katanya.