KOTA BHARU: Kesediaan Rashid Sidek meneruskan khidmatnya sebagai
ketua jurulatih perseorangan negara diharap membolehkan sasaran negara
meraih pingat emas acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Dunia di
Copenhagen, Denmark dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, tercapai.
Menteri Belia dasn Sukan, Khairy Jamaluddin berkata ini kerana
kejayaan Datuk Lee Chong Wei banyak bergantung kepada Rashid sebagai
jurulatihnya.
"Saya telah bercakap dengan beliau (Rashid) melalui perbualan
telefon, beliau ada sebut akan berkhidmat sehingga kontrak tamat akhir
tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan
Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kota Baharu di
sini hari ini.
Khairy, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, mengulas hubungan
dingin antara Rashid dengan pucuk pimpinan Persatuan Badminton Malaysia
(BAM) yang dibimbangi boleh menjejaskan persiapan skuad kebangsaan ke
kejohanan berkenaan.
Sebelum ini, akhbar melaporkan hubungan dingin Rashid dan Presiden
BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff turut menyebabkan dia
diketepikan daripada skuad ke Kejohanan Dunia dari 25 hingga 31 Ogos ini
dan tempatnya akan disi oleh jurulatih pelapis, Hendrawan biarpun anak
didik jurulatih kelahiran Indonesia itu tiada dalam skuad ke Copenhagen.
"Kita tak nak persiapan dan mental Lee Chong Wei terganggu kerana
jurulatih ada masalah. Saya maklumkan kepada Rashid dan Lee Chong Wei
sila teruskan latihan," kata Khairy.
Beliau telah meminta Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza
Zakaria untuk meleraikan kekusutan masalah antara pucuk pimpinan
persatuan itu dengan Rashid.
Mengenai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang meletakkan sasaran suku
akhir untuk skuad bola sepak negara sekiranya mahu perbelanjaan mereka
ke Sukan Asia di Incheon itu dipulangkan sepenuhnya oleh MOM, Khairy
berkata pandangan MOM itu ada rasionalnya untuk mereka berusaha mencapai
kejayaan.
"Kalau tidak letak sasaran yang tinggi, pasukan bola sepak merasakan
kehadiran di Sukan Asia memadai sekadar penyertaan dan kita kena letak
syarat kalau tidak mencapai sasaran, kos untuk sukan ini ditanggung oleh
mereka, ini satu perubahan dan harapan baharu," katanya.
Sukan Asia ke-17 di Incheon akan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini. - BERNAMA