Ipoh: Penduduk Kampung Manjoi di sini gempar susulan penemuan kain kafan menyerupai 'pocong' yang diselitkan bersama beberapa kelengkapan mayat dalam lubang menyerupai kubur di belakang sebuah rumah di Jalan Raja, di sini semalam.
Pemilik rumah berkenaan, Noriasha Ahmad, 56, berkata kain kafan dan kelengkapan mayat yang ditanam dalam lubang sedalam dua meter itu ditemui di belakang rumahnya kira-kira jam 8 pagi ketika dia memeriksa sekitar kawasan berkenaan.
“Esoknya, saya yang tak sedap hati meninjau kawasan itu dan terkejut mendapati ia sebenarnya 'kubur'. Malah sebungkus plastik hitam berisi kapas dan kapur barus juga ditemui di sebelahnya," katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Tiada mayat ditemui
Noriasha berkata, walaupun tiada mayat ditemui selepas lubang itu dikorek, kejadian terbabit tetap membimbangkannya dan ahli keluarga.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, sepasukan anggota polis yang dihantar ke lokasi selepas menerima laporan kira-kira jam 9.15 pagi semalam, hanya menemui kelengkapan pengebumian di situ.
“Barangan ditemui termasuk kapas, kapur barus serta sehelai kemeja yang belum dikenal pasti pemiliknya, tetapi sebabnya tidak dapat diperjelaskan,” katanya.
Mengulas kejadian terbabit, pendakwah terkenal, Mohammad Kazim Elias, berkata kubur bersama kelengkapan mayat itu mungkin antara kaedah untuk membuang saka dan amalan ilmu hitam.
Kazim berkata, lazimnya perkara khurafat sedemikian dilakukan oleh waris terdekat pemilik saka untuk membuang pendamping itu supaya tidak diganggu kemudian hari.