Perarakan Hari Kebangsaan bermula


KUALA LUMPUR: Perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-57 di Dataran Merdeka di sini hari ini bermula tepat 8.15 pagi tadi.

Acara didahului dengan pemeriksaan kawalan kehormat oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, diikuti nyanyian lagu Negaraku, bacaan ikrar dan nyanyian koir.

Serentak dengan nyanyian lagu Negaraku, 14 das tembakan meriam yang menandakan 14 negeri dalam Malaysia, dilepaskan oleh Rejimen Artileri Diraja.

Hadirin turut diminta untuk bertafakur selama seminit sebagai memperingati jasa dan pengorbanan perwira terdahulu sebelum perarakan bermula.

Ribuan warga kota mula berkumpul di Dataran Merdeka seawal jam 7 pagi tadi bagi menyaksikan perarakan itu.

Pelbagai acara disusun pada sambutan kali ini termasuk perbarisan pasukan keselamatan, pertunjukan aset keselamatan dan pertahanan negara serta formasi bendera yang membabitkan 14,220 peserta.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba kira-kira jam 7.45 pagi tadi bagi bersama-sama rakyat menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan ke-57.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman pula tiba pada jam 7.15 pagi tadi.

Beberapa jalan utama juga mula ditutup termasuk Jalan Raja Laut, Jalan Kinabalu, Jalan Tun Perak bagi memudahkan pergerakan pengunjung selain persediaan pasukan perarakan untuk mengambil tempat.