Sebelum ini, anggota kumpulan Eva sering tampil berempat dalam setiap
persembahan yang dijayakan. Kemunculan semula selepas 10 tahun menyepi
menerusi single Kukuhkan Cinta dan Cuma Berbeza yang diterbitkan
komposer Andi A Merican pada tahun lalu disambut positif peminat.
Bagaimanapun, sedang rancak mempromosikan lagu, persoalan timbul apabila Eva kini hanya disertai Rina, Mim dan Izzu. Linda pula dilihat selesa membawa haluan sendiri dengan tampil menyanyi secara solo.
Ini membuatkan ramai tertanya-tanya dan mengaitkan kumpulan yang pernah popular menerusi lagu Bulan Cinta pada 1996 ini mengalami masalah dalaman. Menguatkan lagi perkara ini, sesi fotografi yang dilakukan bersama RAP juga berlangsung tanpa kelibat Linda.
Walaupun berasa kehilangan seorang rakan lama, Rina, Mim dan Izzu menghormati keputusan Linda yang meninggalkan Eva untuk bergerak solo. Apatah lagi, pengundurannya dibuat secara baik tanpa sengketa antara mereka.
“Kami bergabung semula pada Mac tahun lalu dengan harapan agar kembali diterima. Ketika itu kami sepakat untuk buat ‘comeback’ kerana menerusi medium sosial Facebook, kami dapati Eva masih ada peminat.
“Untuk merealisasikan perkara ini, kami keluarkan wang sendiri secara berkongsi untuk bayar kos penerbitan dan promosi single yang dianggarkan berjumlah RM20,000.
“Sayanglah kalau hanya disebab-kan pengunduran dia, kami mengalah. Kalau tak teruskan bermakna kami hanya buang masa, tenaga dan wang. Jadi ini antara sebab kami teruskan juga perjuangan dalam seni,” kata Mimi mewakili dua rakannya.
Menurutnya, Linda menarik diri daripada Eva sejak awal tahun ini. Tanpa alasan kukuh, punca pengundurannya mungkin disebabkan selesa bergerak solo berbanding berkumpulan yang masing-masing mempunyai komitmen berbeza.
“Masing-masing ada kerja sendiri yang perlu diselesaikan. Jadi, Linda bergerak solo untuk cari rezeki antaranya menyanyi di Restoran Cerana, Cheras. Kami tak boleh halang kehendaknya. Apapun, peminat yang terkejut dengan kemunculan semula Eva, boleh menerima kehadiran kami.
“Tanpa Linda, Eva tetap boleh bergerak. Kami tak mahu mengungkit kerana mahu pandang ke depan. Masing-masing ada matlamat dalam hidup dan sudah matang. Kami tiada masalah untuk aktif dalam Eva walaupun sudah berkeluarga,” kata Mimi lagi.
Menurut Izzu pula, keluarga bukanlah dijadikan alasan untuk mereka mengehadkan aktiviti nyanyian. Namun, biarpun sibuk memenuhi undangan show di sana sini, keluarga tetap nombor satu dalam hidup mereka.
“Tak bermakna kami ghairah menyanyi sehingga mengabaikan keluarga. Kami akan menyiapkan keperluan keluarga terlebih dulu sebelum pergi show. Sekarang kami sedang mempromosikan lagu Cuma Berbeza sebagai single kedua.
“Agak mengecewakan kerana hanya beberapa stesen radio yang sudi memainkan lagu Eva. Ia satu perkara menyedihkan kerana kami bersusah payah menghasilkan single ini tapi malangnya kurang mendapat kerjasama daripada pengendali stesen radio.
“Patutnya kami diberi peluang untuk mempromosikan lagu kepada peminat tapi apakan daya perkara ini terjadi. Kerana itu, peminat juga tak berpeluang mendengar lagu kami.
“Eva juga berharap diberi ruang menjayakan show kerana nak betulkan persepsi mengatakan kami tak boleh menyanyi dengan baik. Selama ini orang kata kami bergantung kepada Linda, tapi kami sudah membuktikan sebaliknya apabila buat persembahan di beberapa lokasi tanpa dia,” katanya yang turut dipersetujui Rina.
Mengulas pertanyaan sama ada mereka makan hati dengan sikap Linda, Izzu mengakui perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam mana-mana kumpulan.
Bagaimanapun, ia tidaklah sehingga menjejaskan ikatan persahabatan yang sudah terjalin rapat selama ini.
Terlanjur bertemu Izzu, 34, tidak lepas ditanyakan ialah soalan mengenai rumah tangganya yang bergelora baru-baru ini. Dengan tenang, ibu kepada Izzy, 13, dan Izzya, 10, ini mengakui sudah nekad mengakhiri rumah tangga yang dibina sejak 15 tahun lalu.
“Kami sudah dua bulan tidak berkomunikasi walaupun masih tinggal sebumbung. Hubungan kami sudah retak sejak Ramadan tahun lalu. Kami sudah pergi kaunseling dan cuba berbaik tapi tetap tak boleh.
“Kami sudah setuju untuk bercerai dan sebutan kes sudah berlangsung pada 13 April lalu manakala pada 23 Mei ini, kami akan masuk mahkamah lagi untuk bercerai secara baik. Saya tak sedih lagi kerana hidup perlu diteruskan.
“Perhubungan kami sekarang pun hanya menerusi SMS dan anak-anak. Mulanya anak-anak sukar terima hakikat ini tapi lama kelamaan mereka sudah boleh menerimanya. Hak penjagaan anak-anak juga diserahkan kepada suami dan saya boleh ambil mereka pada hujung minggu,” katanya.
Enggan menyesali apa yang berlaku, Izzu bertekad mahu bangkit membina kehidupan baru selepas ini. Dia bersyukur kerana kedua-dua anaknya mula aktif berlakon drama. Padanya ini rahmat kerana sedikit sebanyak rezeki mereka turut terkena tempias buat dia.