Budak 9 tahun, kahwin lagi


Ximhungwe (Afrika Selatan): Sanele Masilela, murid berusia sembilan tahun, menjadi pengantin lelaki paling muda di dunia sekali lagi selepas berkahwin untuk kali kedua dengan wanita berusia 62 tahun minggu lalu.
Mereka pernah berkahwin kali pertama tahun lalu.

Dengan berpakaian tuxedo, Sanele menggengam tangan ibu lima anak, Helen Shabangu, ketika mereka mengulangi ikrar perkahwinan yang dibuat tahun lalu di depan 100 tetamu. Murid sekolah itu berkata, dia mengadakan majlis itu sekali lagi kerana mahu menjadikan perkahwinannya rasmi.

Bagaimanapun, sebahagian penduduk kampung di Ximhungwe, daerah di Mpumalanga, Afrika Selatan, menyifatkannya sebagai ‘meloyakan.’ Majlis itu diadakan di depan suami Helen, Alfred Shabangu, 66, yang turut hadir pada majlis yang diadakan tahun lalu.

Alfred berkata: “Anak saya gembira kerana kami tidak mempunyai masalah dengan isteri saya berkahwin dengan budak itu. Dan saya tidak peduli apa orang lain kata.” Kedua-dua keluarga mendakwa perkahwinan itu hanya satu lagi ritual selepas Sanele kononnya didatangi roh nenek moyang bapanya yang memberitahunya supaya berkahwin tahun lalu.

Ibu bapanya memberi hantaran RM2,500 kepada pengantin perempuan dan RM5,000 lagi untuk mengadakan majlis tahun lalu.

Murid berkenaan, anak bongsu daripada lima beradik berkata, dia mengadakan satu lagi majlis kerana mahukan perkahwinannya dibuat secara rasmi mengikut tradisi masyarakat setempat.

“Saya gembira berkahwin dengan Helen. Tetapi saya tetap akan meneruskan sekolah saya. Apabila dewasa kelak, saya akan mengahwini wanita seusia saya.
“Saya gembira memilih Helen kerana saya cintakannya. Walapun kami tidak sentiasa tinggal bersama, kami sering bertemu di tempat pelupusan sampah, tempat ibu dan dia bekerja,” kata Sanele.

Helen yang mengenakan pakaian serupa yang dipakainya pada majlis tahun lalu berkata: “Saya gembira dipilih oleh Saneie dan keluarga saya menyokong dan memahami apa yang berlaku. Ini hanya untuk membuat nenek moyang kami gembira.

“Tak ada yang lain berlaku.” Ibu Sanele, Patience Masilela, 47, berkata, anaknya gembira dengan majlis tahun lalu dan mahukan majlis itu diadakan sekali lagi. “Dia tidak malu, malah gembira dapat berkahwin dengan Helen. Kami bimbang jika tidak mereka tidak berkahwin, keluarga kami akan ditimpa masalah,” katanya. - AFP