COPENHAGEN: Datuk Lee Chong Wei akur cabaran sebenar baginya dalam
Kejohanan Badminton Dunia bermula, hari ini apabila berdepan pemain
China, Wang Zhengming dalam saingan suku akhir.
Namun, berpandu kepada rekod pertemuan daripada 11 perlawanan lalu
di antara mereka harus wujud rasa yakin kepada jaguh negara itu kerana
dia memenangi semua pertemuan terdahulu itu.
Dalam pertemuan terakhir pada Terbuka Malaysia 2014, Januari lalu, Chong Wei mengatasi Zhengming 21-17, 21-18.
Chong Wei mara ke kelompok lapan terakhir selepas menewaskan wakil
Ireland, Scott Evans 21-11, 21-12 dalam tempoh 36 minit di Ballerup
Super Arena, awal pagi ini.
"Perlawanan hari ini (awal pagi ini) bukanlah terlalu sukar.
Bermula esok, perlawanan mungkin bertambah sukar dengan berdepan
Zhengming dan mungkin persediaan yang paling hebat perlu saya lakukan.
"Fokus saya masih kepada persediaan diri sendiri dan saya tidak
pandang rendah pemain China itu walaupun tidak pernah kalah dalam 11
pertemuan dengannya sebelum ini," katanya.
Terdahulu, Zhengming, 24, layak ke suku akhir selepas menewaskan pemain Hong Kong, Nan Wei 21-15, 21-18.
Andai berjaya melepasi halangan hari ini, Chong Wei dijadual
menentang bertemu pemenang antara pilihan ke-14, Viktor Axelsen dan Tien
Chen Chou dari Taiwan di separuh akhir, esok.
Pemain berusia 32 tahu itu menyifatkan kejayaan melepasi pusingan
ketiga adalah satu permulaan yang berliku dalam misi memburu gelaran
dunia yang masih belum dikecapi sepanjang kerjayanya.
Chong Wei turut berharap wakil beregu tunggal negara dalam acara
lelaki, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong akan meneruskan momentum
selepas mengesahkan slot suku akhir.
Hoon dan Tan mengambil masa 63 minit untuk mengalahkan pasangan
Jepun, Takeshi Kamura dan Keigo Sonoda 19-21, 21-17,21-19 dalam aksi
pusingan ketiga.
Bagaimanapun, satu lagi beregu negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon
Keong gagal meneruskan kemaraan apabila kalah kepada beregu Taiwan, Lee
Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 21-19, 17-21, 19-21 dalam saingan pusingan
ketiga. - BERNAMA