PETRONAS biaya RM67j cari pesawat

Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) akan membiayai RM67 juta bagi penyediaan sonar imbasan dan kapal sokongan marin untuk operasi mencari dan mendapatkan semula (SAR) pesawat MH370 yang hilang.

Syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan semalam berkata, kelengkapan pencarian dalam air dan kapal sokongan itu akan digunakan bagi pencarian laut dalam.

“Kedua-dua aset itu, yang dibekalkan oleh DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd, akan menyertai pencarian di bawah pendekatan kelengkapan disediakan kerajaan di mana syarikat Malaysia adalah sebahagian daripada sumber untuk membiayai operasi SAR.

“Sebelum ini, PETRONAS telah membenarkan penggunaan kapal ‘geo-hazard survey’ miliknya, MV Teknik Putra, antara 10-16 Mac, 2014, bagi operasi pencarian awal pesawat yang hilang itu di Laut China Selatan,” kata syarikat itu.

Kapal itu kini kembali melakukan tugas rutinnya selepas misi itu selesai.