Petaling Jaya: Polis mengambil cap jari dan sebatang gigi daripada
mayat suspek kes pembunuhan kanak-kanak perempuan, Siti Soffea Emelda,
untuk pengesahan identiti suspek itu.
Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi ASP Suhaimi
Muhamad berkata, identiti suspek sukar dikenal pasti ekoran keadaan
mayatnya yang reput setelah ditemui terapung di Sungai Klang berhampiran
plaza tol Sunway kira-kira 3 petang, Sabtu lepas.
"Kita telah hantar ujian cap jari dan sebatang gigi suspek
masing-masing ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bahagian Rekod
Jenayah Polis untuk mengetahui identitinya.
"Tempoh dua hingga tiga hari diperlukan bagi memperoleh keputusan itu," katanya ketika ditemui pemberita di Bahagian Forensik di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini, hari ini.
"Tempoh dua hingga tiga hari diperlukan bagi memperoleh keputusan itu," katanya ketika ditemui pemberita di Bahagian Forensik di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata, polis telah mengambil keterangan 10 saksi berhubung kes pembunuhan Siti Soffea Emelda.
Antara 10 saksi itu ialah ibu kanak-kanak perempuan itu, katanya dalam kenyataan media hari ini.
"Setakat ini, polis belum mengenal pasti motif sebenar pembunuhan itu berlaku," katanya.
Polis juga mengesahkan mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Klang berhampiran plaza tol Sunway Sabtu lepas mempunyai kaitan dengan pembunuhan kanak-kanak perempuan itu berdasarkan pakaian suspek.
Polis turut menemui bungkusan plastik kecil yang mengandungi ganja di dalam pakaian suspek.
Bedah siasat terhadap mayat Siti Soffea Emelda mendapati adanya kecederaan parah akibat hentakan di bahagian kepala dan punca kematiannya adalah selari dengan keterangan saksi-saksi yang melihat kejadian itu berlaku.
Siti Soffea Emelda, yang berusia dua tahun enam bulan, dibunuh kejam dengan kepalanya terputus dipercayai akibat dikelar di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Komuter Kuala Lumpur di Jalan Hishamuddin di sini pada Khamis lepas.
Saksi mendakwa melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak itu di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan 'sesuatu' pada leher mangsa.
Apabila saksi cuba menghampiri suspek, dia melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Klang.
Suspek dipercayai dibebaskan dari Penjara Kajang pada 26 Mei lepas setelah menjalani hukuman penjara dua tahun atas kesalahan samun.