'Seludup' Buah Tangan Terbaru Jehan Miskin


Drama bersiri 13 episod, 'Seludup' dijangka akan menemui penonton menjelang hujung tahun ini di saluran Astro Maya HD. Drama penuh aksi ini bakal memulakan pengambaraan pada pertengahan Julai. Siri ini merupakan idea Jehan Miskin yang merupakan Penerbit Eksekutif Mastermind Group Sdn.Bhd.

Drama siri ini mengupas isu perdagangan haram barangan seludup yang sebenarnya sedang berleluasa di negara ini. Mungkin isu yang dipaparkan Jehan agak berat namun menurut Jehan ia hanyalah rekaan dan bukan berniat untuk mengajar orang luar tentang penyeludupan barang. Tetapi mesej yang terdapat dalam Seludup semuanya mengikut kajian yang telah dibuat lebih awal bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Pemilihan pelakon memang dilakukan sendiri oleh Jehan. Jehan ada sebab tersendiri mengapa dia memilih pelakon-pelakon yang dianggap hebat dalam 'Seludup'. Pekin Ibrahim, Tiz Zaqyah, Raja Ilya, Namron dan juga Syafie Naswip memang menepati ciri-ciri untuk setiap dalam 'Seludup'.

Menurut Jehan, Tiz Zaqyah merupakan pelakon pertama yang mereka tawarkan untuk berlakon dalam drama ini. Manakala Namron, Jehan begitu teruja saat mengolah watak untuk Namron.

"Saya memang nak sangat bekerjasama dengan Namron. Saya tidak sabar sebenarnya. Dalam kepala saya sudah ada bayangan apa yang akan dibuat oleh Namron. Tetapi saya percaya apabila di set penggambaraan nanti, saya akan dapat lebih daripada Namron".

Jehan percaya kesemua pelakon yang dipilih dapat membawakan watak yang diberi sebaik mungkin. Jehan juga berterima kasih kepada pihak Astro kerana bersetuju membawakan konsep baru ke dalam produksi TV tempatan.
Memandangkan mereka akan membuat penggambaran di bulan puasa, jadi mereka akan kurangkan sedikit aksi lakonan bagi menghormati bulan yang mulia ini. Hanya babak-babak ringan sahaja yang akan dilakonkan, selebihnya aksi ganas dan sebagainya selepas bulan puasa.

Tidak sabar hendak menunggu drama ini di tayangkan kerana, karya dari Jehan Miskin tidak pernah menghampakan. Bagi yang mengikuti karya Jehan pasti tahu bagaimana cara Jehan mengarah. Apa-apa pun kita tunggu ya?