Erin Malek Kini Tunangan Orang


Tahniah diucapkan kepada juara FFM2 Erin Malik kerana selamat ditunangkan dengan jejaka pilihan yang bernama Farriz Fauzy. Majlis yang telah diadakan pada Sabtu lalu di Duta Suria Residency telah dihadiri oleh kaum keluarga terdekat selain dari rakan artis yang turut memeriahkan suasana.

Masih mengekalkan adat Melayu lama, majlis telah dimulakan dengan bacaan doa serta perbincangan oleh bapa saudara yang mewakili pihak lelaki kepada pihak perempuan. Pada majlis tersebut juga, pihak lelaki telah menyerahkan lima dulang hantaran yang berupa tepak sirih, sirih junjung, sepasang kain, kain telekung dan kek.

Disebelah pihak perempuan pula membalas dengan tujuh dulang hantaran terdiri daripada jambangan sirih junjung, cincin, sepasang kain, set wangian, buah-buahan dan dua dulang manisan. Kemuncak majlis diteruskan dengan adat menyarung cincin yang sempurnakan oleh ibu Farriz, Wan Nor Azmah.

Kedua-dua belah keluarga telah bersetuju untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 10 Oktober depan. Erin sempat mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan lagi majlis pertunangan tersebut dan bersyukur kerana semua berjalan lancar.

Pada majlis tersebut, Erin cukup anggun sekali mengenakan busana pereka fesyen terkenal Azura Couture berserta pelamin bertemakan 'Fairy Blossom'. Diantara rakan artis yang hadir ialah Fasha Sandha, Arja Lee dan Faralyna Idris. Tahniah diucapkan kepada Erin dan tunang semoga terus bahagia sehingga ke jinjang pelamin!