Penantian 23 tahun JDT berakhir

Johor Bahru: Selepas 23 tahun menanti, akhirnya Piala Liga Super kembali dijulang di laman sendiri sambil disaksikan ribuan penyokong tuan rumah yang memenuhi Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos Larkin, di sini.

Ternyata penat lelah dan pengorbanan Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku orang kuat di sebalik kebangkitan skuad Harimau Selatan berbaloi serta janjinya untuk mengembalikan kegemilangan pasukan Johor menjadi kenyataan.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor ketika turun ke tengah padang berkata, mengucapkan tahniah atas kejayaan dikecapi sambil menyatakan era kegemilangan bola sepak Johor sudah tiba.

"Pada 4 September 2012, ketika perlawanan antara pasukan Johor FC dan Johor, ada seorang Pemuda berdiri di tengah padang ini dan berjanji kepada rakyat Johor bahawa dia akan membawa balik kegemilangan bola sepak Johor. 

"Tahniah di atas kejayaan ini dan saya amat bersyukur kerana masanya telah tiba," katanya.

JDT menang dengan kelebihan tiga mata mengatasi Selangor menerusi jaringan keramat Diaz ketika menentang Sarawak di bumi Kenyalang sebelum ini.

Membawa hadiah kemenangan RM750,000, anak buah Bojan Hodak turut berkongsi kejayaan dan kegembiraan penyokong setia tuan rumah dengan memberi puluhan bola sepak percuma kepada mereka.

Terlalu teruja, ahli pasukan JDT melambung Tunku Ismail sebanyak tiga kali selepas berarak ke sekeliling stadium.
Pasukan JDT yang mengungguli Liga Super bersama Pahang yang menggondol Piala FA akan mewakili Malaysia ke pentas AFC musim depan.