Minta Zizan tunjuk bukti penyelewengan dalam WFE

Subang Jaya: Pengarah Urusan Wirefame Entertainment Sdn Bhd (WFE), Marina Juki, hari ini meminta rakan kongsinya aktor Zizan Razak agar mengemukakan bukti jika benar ada berlaku penyelewengan di dalam syarikat sebagaimana desas-desus yang berlegar.

"Saya ada mendengar daripada sumber tertentu berhubung dakwaan Zizan kononnya saya menyalah gunakan wang syarikat. Jika benar ia berlaku, saya minta Zizan kemukakan bukti dan berjumpa dengan saya serta pihak auditor untuk membincangkan hal ini secara terperinci agar ia dapat diselesaikan secara baik," katanya.

Marina yang ditemui pada sidang media tergempar berhubung permasalahan dalaman WFE yang diadakan di Holiday Villa, Subang Jaya, petang ini, mempertahankan tindakannya mengadakan majlis berkenaan untuk membersihkan namanya selain menjelaskan beberapa isu berbangkit.

Ini kerana, sejak hubungan mereka tegang Februari lalu, satu demi satu gosip kurang manis muncul dan ia bagaikan tergantung tanpa seberang penyelesaian.

Antara tiga perkara utama yang dibangkitkan adalah pertuduhan mengenai penyalahgunaan wang dan pengurusan syarikat, pembekuan akaun syarikat dan juga bagi membersihkan nama syarikat Wirefame Entertainment.