Kemenangan di malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian(ABPBH) 2013,
memberi lambaran baru buat Dato AC Mizal. Tidak pernah menyangka
memenangi kategori Pengacara TV Popular, AC menyifatkan kemenangan itu
sebagai menambahkan lagi portfolionya.
"Saya berterima kasih kepada mereka yang mengundi saya. Tidak lupa
juga pihak Astro kerana mereka yang menjadikan saya pengacara. Bermula
dari AC Di sini sehinggalah sekarang. Jika bukan dari mereka mustahil
saya masih berada di sini".
"Anugerah ini suatu penghargaan yang besar buat saya. Ia menjadikan
diri saya benar-benar dihargai. Dengan adanya anugerah ini, kita perlu
lebih berusaha untuk maju dan pegang anugerah itu sebagai satu
tanggungjawab".
Kalau anda peminat 4U2C, ada berita gembira buat anda. AC bakal menghasilkan satu projek khas iaitu New Batch of 4U2C. "Beberapa
bulan lepas saya sudah menandatangani kontrak bersama Sony Music dan
akan mengeluarkan single saya sendiri selepas raya. Tetapi sebelum itu
saya akan keluarkan single terbaru bersama New Batch of 4U2C. Ini projek
khas. Saya pilih mereka dan sekarang ada empat orang. Tinggal lagi dua
untuk lengkapkan kami. Saya buat seperti pertandingan. Mereka perlu
menghantar video kepada saya bukan sahaja menyanyi tetapi menari seperti
4U2C. Lagu apa dan sebagainya saya tidak boleh war-warkan lagi. Tunggu
dalam masa yang terdekat ini ya".
AC juga turut menegaskan tidak mungkin akan bergabung untuk mewujudkan
4U2C semula. Disebabkan itu terhasilnya New Batch of 4U2C. Kita tunggu
dan lihat bagaimana lagu seperti Fiona, Videogame dan lain-lain menjadi
versi baru. Mesti menarik lebih-lebih lagi dengan pemilihan ahli
kumpulan adalah dari AC sendiri.