Ulasan Filem: Edge of Tomorrow
By Info Blog at 9:06 PTG
Diadaptasi dari novel “All You Need Is Kill” karya Hiroshi Sakurazaka, Edge of Tomorrow merupakan sebuah filem bergenre aksi/sci-fi yang menyaksikan gandingan di layar buat pertama kalinya diantara Tom Cruise dengan pelakon British Emily Blunt. Filem yang diarahkan Doug Liman ini mengisahkan tentang Mejar William Cage lakonan Cruise yang mempunyai keupayaan untuk mengulangi masa yang diperolehi secara tidak sengaja ketika bertempur dengan mahluk asing yang cuba untuk menakluki bumi. Cage akan kembali kepada titik pemulihan (restore point) setiapkali dia terkorban.
Edge of Tommorrow mengambil latar masa depan dimana dunia diancam oleh penaklukan spesis mahluk asing yang dikenali sebagai Mimics. Kemuncak pada perperangan diantara manusia dan Mimics telah membawa kepada pelancaran United Defence Forces (UDF) oleh ketenteraan NATO. Sebagai jurucakap UDF yang juga menggalas tugasan sebagai pegawai perhubungan media untuk tentera Amerika Syarikat, Cage telah diarahkan untuk bertemu dengan Jeneral Brigham (Brendan Gleeson) di London. Kemenangan di Verdun (dicapai dengan pengenalan Exoskeletons/ExoSuits; suit perisai/bionik dilengkapi mekanisma senjata dan dikenali sebagai “Jacket”) meyakinkan lagi Brigham selaku komander kepada UDF tentang hasratnya untuk melancarkan Operasi Downfall. Cage yang tidak mempunyai sebarang latihan ketenteraan gerun apabila dikerah oleh untuk bertempur. Bantahan dan cubaan untuk memeras ugut telah mengakibatkan Cage dilucutkan pangkat sebelum dia ditangkap dan direnjat ketika cuba melarikan diri dari pejabat Brigham. Cage yang tersedar dari pengsan mendapati dirinya kini berada di lapangan terbang Heathrow sebelum diterbangkan untuk bertempur di Perancis. Dia kemudiannya diserapkan ke dalam Skuad J yang terdiri daripada Skinner, (Jonas Armstrong) Kimmel, (Tony Way) Griff, (Kick Gurry) Nance, (Charlotte Riley) Ford, (Franz Drameh) Kuntz (Dragomeh Mrsic) dan Takeda (Masayoshi Haneda.) Pada keesokan harinya, Cage menyertai gelombang pertama bersama Skuad J dibawah penyeliaan Master Sergeant Farrell lakonan Bill Paxton. Pesawat yang dinaiki telah dibedil di udara menyebabkan mereka perlu membuat terjunan sebelum menyertai pertempuran yang berlaku di persisiran pantai.
Digambarkan sebagai organisma penakluk dunia yang berevolusi tinggi dengan pergerakan pantas dan fizikal menyerupai sotong kurita/obor-obor, Mimics memusnahkan setiap serangan seolah-olah dapat mengagak pergerakan musuh. Cage melihat satu demi satu anggota tentera yang terkorban. Panik berhadapan dengan Mimic yang kelihatan agak luarbiasa, Cage melancarkan bom yang telah mengorbankan dirinya dan juga Mimic tersebut. Cage diselubungi darah Mimic sebelum dia menghela nafas terakhir. Cage tersedar dan mendapati dia kembali berada di lapangan terbang Heathrow pada hari sebelum berlakunya Operasi Downfall. Dia mula menyedari bahawa dirinya terperangkap di dalam putaran masa. Seolah menekan butang “reset”, Cage akan kembali pada detik yang sama setiap kali nyawanya terkorban. Usaha Cage untuk meyakinkan Farrell dan rakan yang lain tentang kegagalan Operasi Downfall kerana Mimics terlebih dahulu dapat mengagak setiap pergerakan mereka tidak berhasil menyebabkan Cage terpaksa berhadapan dengan proses pengulangan masa selama beberapa kali (dan setiap kali itu juga dia cuba menyelamatkan seberapa banyak anggota) tetapi dia masih gagal. Usaha Cage menyelamatkan Rita Vrataski yang juga dikenali sebagai “Angel of Verdun” lakonan Emily Blunt telah meyakinkan Rita tentang kebolehan Cage untuk menjangka perperangan yang sedang berlaku. Rita sempat memberi arahan agar Cage mencari dan bertemu dengan dirinya di markas (Heathrow) sebelum kedua mereka terkorban.
Cage tersedar dan melakukan seperti apa yang telah diarahkan. Rita menceritakan bahawa dia juga pada satu ketika mempunyai keupayaan me“reset” masa yang mendorong kepada kejayaan yang diperolehi di Verdun. Sama seperti Cage, keupayaan itu diperolehi dengan membunuh dan menyerap darah daripada “Alpha” Mimic. Namun keupayaan itu mula hilang apabila Rita melalui proses transfusi darah akibat kecederaan di medan perang. Cage diperkenalkan kepada Dr. Carter (Noah Taylor) yang merupakan bekas saintis kerajaan merangkap pakar biologi Mimics. Cage diberi penerangan tentang Mimics yang dikawal oleh induk yang digelar sebagai “Omega.” Rita mula memberi latihan kombat pada Cage. Dengan latihan yang diterima dari Rita dan Dr. Carter, Cage perlu menggunakan keupayaan yang dimiliki untuk menjejaki lokasi Omega dan memusnahkannya.
Edge of Tomorrow memaparkan babak pertempuran yang epik serta mengujakan dan digarap dengan baik oleh Doug Liman yang begitu arif dan turut dikenali melalui filem bergenre aksi dan sci-fi seperti The Bourne Identity, Mr. & Mrs Smith dan Jumper. Selain mirip permainan konsul yang membolehkan pemain untuk menekan butang reset agar kembali kepada restore point setiap kali gagal mahupun terkorban, penceritaaan tentang kebolehan untuk mengulangi masa/hari sama secara berulang demi mencapai misi hasil barisan penulis yang terdiri daripada Christopher McQuarrie, (The Usual Suspect, Valkyrie, Jack Reacher) Jez Butterworth (The Last Legion, Fair Game) dan John-Henry Butterworth (Fair Game) sedikit sebanyak mengingatkan pada filem Groundhog Day (1993) lakonan Bill Murray dan Andie McDowell.
Edge of Tomorrow menyaksikan kebangkitan semula Cruise selepas filem “Oblivion” (2013) yang tidak begitu menjadi. Usia 51 tahun tidak menghalang Tom Cruise yang terkenal dengan jolokan “fearless performer” untuk merealisasikan watak William Cage. Melalui paparan di “Entertainment Tonight” Cruise dilaporkan melakukan sendiri babak aksi lagak ngeri yang menuntut supaya dia bertarung sambil mengenakan ExoSuit (yang disifatkan oleh Bill Paxton sebagai peranti penyeksaan) seberat 61 kilogram. ExoSuit yang direka agar menyamai paksi sendi bagi memudahkan si pemakai untuk bergerak adalah hasil kolaborasi pereka produksi Oliver Scholl (The Time Machine, Jumper) dengan pereka kostum Kate Hawley (Pacific Rim) dan diketuai oleh pereka model Pierre Bohanna yang juga bertanggungjawab dalam pembinaan batsuit untuk filem “The Dark Knight” terbitan tahun 2008.
Tampil pertama kali membawa watak lasak, Emily Blunt yang mula menempa nama melalui “The Devil Wears Prada” (2006) turut melakukan sendiri aksi lagak ngeri. Berat ExoSuit yang perlu ditampung serta kecederaan yang dialami dalam merealisasikan watak Cage dan Rita oleh kedua pelakon ini ternyata berbaloi kerana bukan sahaja mereka nampak believable sebagai tentera UDF, keserasian diantara Cruise dan Emily juga kelihatan begitu terserlah. Selain Cruise dan Emily, turut mencuri tumpuan adalah Bill Paxton (Aliens, Twister, Titanic) sebagai Sarjan Bobby Farrell yang berasal dari Science Hill, Kentucky dengan loghat “southern” yang bersifat tegas tetapi sinikal.
Pencapaian rekaan konsep dan visual kesan khas untuk Mimics yang menggerunkan serta babak pertempuran yang mengujakan turut memberi sumbangan terhadap filem ini. Cuma penyudahan Edge of Tomorrow seakan boleh dijangka. Saying sekali apabila Edge of Tomorrow turut menggunakan pendekatan yang sama seperti yang pernah ditonjolkan di dalam filem “Independence Day,” (1996) “War of The World” (2005) dan “Pacific Rim,” (2013) iaitu langkah terakhir bagi manusia untuk mengecapi kemenangan adalah dengan menghapuskan punca kuasa yang terletak pada induk spesis mahluk asing.