Sindiket kecut perut

Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan barangan tiruan di sekitar ibu kota ‘panas punggung’ apabila Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur bertindak agresif merampas pelbagai produk tiruan dan cetak rompak bernilai RM2 juta sejak Januari lalu.

Rampasan membabitkan 214 kes itu dilakukan hampir setiap minggu oleh anggota KPDNKK bagi memastikan kegiatan penjualan produk tiruan dapat dikekang sepenuhnya terutama menjelang musim perayaan.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, kebanyakan produk dirampas adalah baju, seluar, kasut, beg tangan dan telefon bimbit cetak rompak yang menggunakan jenama terkenal untuk menarik orang ramai membelinya.

Menurutnya, rampasan tidak hanya membabitkan produk pakaian malah KPDNKK turut merampas produk makanan seperti kicap dan bihun yang didapati turut dicetak rompak jenama asalnya.