Aaron Aziz Ambil Peluang Ramadan Untuk Beribadat


Bulan Ramadan yang mulia ini digunakan sebaiknya oleh pelakon popular iaitu Aaron Aziz untuk menghabiskan masa bersama keluarga selain bulan untuk beribadat kepada Allah. Sempat menemubual pengacara dan pelakon popular ini, Aaron turut sudi berkongsi pengalamannya setiap tahun bersama keluarga. Menurutnya lagi, setiap kali bulan Ramadan dia sentiasa bersahur bersama dua lagi anaknya dan pada sebelah malam akan pergi ke masjid berhampiran untuk beribadat. Selain itu, dia sendiri sudah menyiapkan jadual harianya pada bulan Ramadan untuk memastikan masanya banyak dihabiskan dirumah.

Ditanya apakah juadah dan minuman kegemaran dirinya, Aaron tidak kisah dengan apa jua bentuk makanan yang hendak dimakan pada bulan puasa untuk berbuka namun minuman yang wajib ada ialah air tebu dan selebihnya diserahkan kepada isterinya Diyana. Pengacara Fear Factor Malaysia ini turut menjelaskan dia selesa berserdehana dalam apa jua persiapan, tak kiralah untuk bulan Ramadan mahupun Syawal. Dia dan keluarga juga bakal merancang untuk mengadakan majlis iftar yang akan dimaklumkan pada suatu masa nanti.

Mengenai perkembangan semasa pula, Aaron kini dalam proses akhir terlibat dengan sebuah filem aksi Hong Kong pada bulan ini. Filem yang melibatkan nama-nama besar pengarah dan pelakon dari Hong Kong ini bakal membariskan nama nama hebat di peringkat antarabangsa. Bukan itu saja, dia turut bakal terlibat dengan sebuah telemovie bersama Siti Saleha di Jakarta.

Rezekinya untuk menjadi duta produk juga semakin murah apabila ada beberapa kontrak akan disambung. Antara produk tersebut ialah Drive, Jakel, Uberman, Maggi dan beberapa lagi. Selepas membuka perniagaan makanan yang bernama Kids & Creme di Setia Alam, Aaron Aziz turut meluaskan sayapnya dengan Aaron Aziz Production (AAP).

Sebelum ini AAP banyak terlibat dengan produksi filem dan drama akan bergerak setapak lagi dengan menjadi syarikat rakaman. Buat masa kini artis yang bernaung di bawahnya ialah kumpulan Sleeq yang baru saja melancarkan albumnya. Aaron turut berharap AAP akan menjadi sebuah syarikat rakaman yang disegani pada masa hadapan dan apa yang paling penting syarikatnya akan mementingkan kualiti untuk terus kekal relevan dalam industri seni.