Kafe siber raih untung RM1j sebulan


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan ada kafe siber memperoleh keuntungan RM20,000 hingga RM30,000 sehari dan mencecah RM1 juta sebulan bergantung kepada jumlah mesin yang disediakan.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik, berkata jumlah itu menerusi risikan dibuat pasukan polis.

“Bayangkan dengan modal serendah RM400 bagi seunit komputer sindiket perjudian ini mampu memperoleh keuntungan 10 kali ganda daripada modal asal.

“Dalam kata mudah perniagaan mereka tidak akan ‘terkesan’ sekalipun aset disita, wang dirampas dan dikenakan denda sehingga RM200,000.

“ Ini menyebabkan polis sering menerima rungutan orang ramai berhubung kenapa jenayah perjudian ini berulang di premis sama selepas ia diserbu.

“Dengan keuntungan yang banyak, mereka mampu beroperasi semula dalam masa singkat,” katanya.

Roslee berkata, di antara Januari dan Mei lalu, polis sudah menahan 4,663 penganjur judi internet dalam 13,767 serbuan membanteras perjudian di kafe siber sejak Januari hingga Mei tahun ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas RM418,705 hasil kegiatan haram itu serta menyita 37,079 unit mesin komputer di seluruh negara.