Polis lanjut tempoh reman ibu Firdaus


Seremban: Tempoh tahanan reman ibu Muhammad Firdaus Dullah, remaja orang kelainan upaya (OKU) yang berakhir semalam, disambung tiga hari lagi hingga Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning, berkata tempoh reman itu dilanjutkan bagi membolehkan siasatan terhadap wanita berusia 40 tahun itu dijalankan secara terperinci.

Katanya, hasil siasatan yang dijalankan membolehkan polis mendapat beberapa maklumat berkaitan kes anaknya, tetapi siasatan perlu diteruskan bagi mengumpulkan maklumat penting lain.

“Kita juga akan memanggil bapa tiri Firdaus dalam tempoh terdekat, bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ibu remaja itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam, Sabtu lalu, untuk disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001, iaitu perbuatan berkaitan penganiayaan, pengabaian, kecuaian atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental dan emosi.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Remaja itu ditemui ketika operasi Jabatan Imigresen negeri untuk memburu pendatang tanpa izin di rumah pangsa Taman Semarak.
Ketika ditemui, tubuh Firdaus dipenuhi najis dan air kencing kering, manakala bajunya reput. Keadaan bilik yang didiaminya juga dipenuhi najis dan sampah sarap. Dia kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) dan keadaannya dilaporkan semakin stabil.

Abdullah berkata, pendakwaan terhadap wanita itu hanya dapat dilakukan selepas mendapat arahan daripada Peguam Negara.