Johor DT mangsa ATM


Selayang: Pasukan bawahan liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus melakar kejutan apabila menundukkan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kemenangan ini pastinya manis buat ATM selepas menundukkan Selangor 2-0 pada Jumaat lalu dan meneruskan saingan sengit untuk kekal di Liga Super ketika saingan berbaki dua perlawanan.
Kekalahan ini menyebabkan Johor DT yang mengambil alih kedudukan teratas Liga Super, Jumaat lalu, gagal menjarakkan mata di puncak liga dan kekal dengan 38 mata manakala Selangor kekal ketinggalan satu mata apabila tewas kepada Kelantan di Kota Bharu.

Anak buah B Sathianathan yang kehilangan dua tonggak utama, Juan Manuel Arostegui dan Hairuddin Omar sebelum perlawanan jelas tidak menimbulkan banyak masalah kepada The Gladiators.

Pelawat bagaimanapun meraih sejumlah peluang untuk meledak jaringan namun gagal menembusi gawang ATM yang dikawal Syed Adney Syed Hussein.

ATM membuka jaringan pada minit ke-39 menerusi Bruno Martelotto yang menerima hantaran Fabrice Noel dalam kotak penalti.

Mereka menambah gol kedua menerusi serangan balas hasil hantaran Noel yang membuka ruang untuk Affize Faisal Mamat menewaskan Izham Tarmizi Roslan buat kali kedua pada minit ke-59.

Harimau Selatan bagaimanapun cuba mempamerkan kebangkitan apabila merapatkan kedudukan menerusi Mohd Asraruddin Putra Omar pada minit ke-84 dan keadaan bertambah menarik apabila pemain gantian ATM, Azrul Ahmad dilayangkan kad merah seminit kemudian.

Kedua-dua pasukan bermain 10 pemain beberapa minit kemudian apabila kapten Johor DT, Mohd Aidil Zafuan Adha Abd Razak dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil perlawanan, Suhaizi Sukri kerana menjatuhkan Noel dalam kotak penalti.

Namun sepakan Mohd Rezal Zambry Yahya sekadar menggegar tiang gol untuk ATM meraih tiga mata bagi mengumpul 22 mata.