Kos hidup makin tinggi, itu belum termasuk keinginan untuk memiliki
barangan idaman. SHUHADA MANSOR mencadangkan beberapa pekerjaan sambilan
yang boleh dilakukan pada hujung minggu. Tolak tepi hari
bermalas-malasan di rumah, isikan waktu hujung minggu dengan aktiviti
bagi menjana duit
Tanyalah sesiapa saja pasti mahukan duit tambahan jika ada peluang.
Semua orang dianugerahkan dengan kreativiti masing-masing. Jadi, apa
salahnya gunakan kelebihan yang ada untuk jana pendapatan sambilan.
Realitinya,
banyak perkara boleh dilakukan Gen Y untuk tambah duit poket. Bukan
hanya dengan bisnes, tetapi aktiviti sambilan yang boleh dilakukan jika
anda rajin, mampu peroleh wang lumayan. Aktiviti yang bakal dikongsikan
ini kebiasaannya dilakukan sewaktu cuti hujung minggu dan ia kini
menjadi jalan penyelesaian alternatif kepada isu kos sara hidup yang
semakin meningkat.
Pada peringkat awal, ada beberapa faktor yang perlu diambil kira jika
anda bercadang mahu melakukan kerja sampingan hujung minggu. Antaranya
pengurusan waktu di mana perlu dipastikan kerja hujung minggu yang ingin
dilakukan itu tidak bercanggah dengan urusan peribadi. Selain itu, buat
jadual pekerjaan sampingan yang diterima supaya perjalanan kerja hujung
minggu lebih sistematik dan dapat memenuhi setiap tawaran.
Jangan
ikut suka hati terima tawaran tanpa tahu asas mengenainya. Terima
tawaran kerja yang anda betul-betul tahu dan ada skil mengenainya. Cara
ini menjadikan tugasan lebih mudah di samping menjaga kredibiliti
sebagai pekerja bebas hujung minggu.
Sedar atau tidak di Malaysia ada
beberapa jenis pekerjaan yang kini menjadi pilihan utama sama ada
dijadikan pekerjaan sampingan mahupun pekerjaan tetap. Antaranya adalah
jurufoto perkahwinan, jurusolek, pengacara majlis serta servis
membersihkan rumah. Pun begitu, ada beberapa pilihan lain untuk anda
fikirkan.
Jurufoto
Musim cuti sekolah adalah waktu paling sibuk bagi semua jurufoto
kerana hampir setiap hari akan diadakan majlis perkahwinan. Jurufoto
bukan lagi pekerjaan eksklusif individu yang memiliki pendidikan formal
dalam bidang itu kerana kecanggihan gajet kamera di pasaran zaman banyak
membantu ramai orang mengabadikan foto yang cantik.
Penulis percaya,
ramai dalam kalangan Gen Y memilih jurugambar menjadi pilihan utama
kerja sampingan di hujung minggu. Bidang yang suatu masa dulu dimonopoli
golongan lelaki kini turut dijadikan kerjaya golongan wanita.
Pendapatan seorang jurufoto untuk setiap tugasan dibayar mengikut jenis
majlis. Secara purata, seorang jurugambar majlis perkahwinan dibayar
bermula serendah RM300 hingga ribuan ringgit untuk tugasan merakam
gambar. Tugasan jurufoto hujung minggu pilihan terbaik kerana ia tugasan
yang menarik dan mudah diurus. Selain itu, skil merakam gambar yang
cantik daripada segi sudut, warna dan pencahayaan kini boleh dipelajari
melalui Internet saja.
Jurusolek
Kerja hujung minggu yang
semakin popular termasuklah kerja mengandam atau jurusolek. Sama seperti
upah jurufoto yang mengikut majlis, begitu juga jurusolek. Ia sesuai
dijadikan kerja hujung minggu memandangkan tugasan menyolek tidak
mengambil masa sepanjang hari. Malah, jika tugasan menyolek selesai pada
sebelah pagi, anda boleh meneruskan atau mengambil upah menyolek
pelanggan lain pula pada sebelah petang.
Wanita memonopoli bidang ini
kerana ia dekat dengan jiwa dan hakikat bahawa wanita lebih mahir dan
arif tentang selok-belok dunia solekan. Harga yang ditetapkan
berdasarkan jenis solekan serta jenis jenama peralatan solekan yang
digunakan. Gen Y kongsikan asas bayaran jurusolek amatur. Solekan majlis
formal bermula serendah RM80, pertunangan dikenakan bayaran antara RM70
hingga RM100, pernikahan (RM150-RM200), majlis resepsi (RM200) atau
solekan majlis bertema (RM80 -RM100)
Juruacara majlis
Kedengaran
agak sukar dan mencabar kerana ia perlukan kemahiran bercakap dan
berceloteh, namun jika anda nekad ia tidak lagi dilihat sebagai tugasan
berat. Asal saja ada usaha mempelajari skil berkomunikasi dan tahu
bagaimana mahu menghiburkan tetamu, pasti ada penyelesaiannya.
Kerja
hujung minggu jenis ini sesuai untuk mereka yang memiliki skil dan
bakat dalam bercakap, imaginatif, kreatif dan bijak mengendalikan
suasana majlis. Selain menawarkan khidmat sebagai pengacara majlis, ada
kalanya anda boleh menawarkan pakej khidmat sistem audio untuk majlis
itu dengan kerjasama daripada kenalan anda yang lain. Dalam bidang ini,
caj yang dikenakan berdasarkan pengalaman pengacara. Secara kasarnya,
seorang juruacara majlis kahwin dibayar antara RM70 hingga RM100 untuk
satu-satu majlis. Bayaran juga bergantung pada jam atau tempoh majlis
berlangsung.
Tukang rencam
Merujuk Kamus Dewan,
rencam bermaksud terdiri daripada bermacam-macam atau berbagai-bagai.
Pekerja rencam atau dalam bahasa Inggerisnya ‘handyman’ diertikan
sebagai pekerjaan hujung minggu atau sampingan yang popular di negara
Eropah. Di Malaysia juga tidak ada kurangnya. Kini, ramai anak muda
mengambil inisiatif mencari pendapatan lebih dengan melakukan kerja
rencam seperti membaiki paip, membaik pulih, kerja pemasangan elektrik
mudah seperti memasang fius, membaik pulih lampu rosak serta mengambil
upah memotong rumput.
Jangan buat tak tahu, tugasan rencam di
negara ini mula dikuasai bangsa asing (Bangladesh, Indonesia) yang bijak
merebut peluang. Mereka berkongsi maklumat, pendapatan untuk kerja
memotong rumput di laman memberi pulangan kira-kira RM40 hingga RM70.
Jika setiap minggu anda menerima tawaran kerja seperti ini, secara
puratanya RM200 dapat diperoleh setiap bulan. Jika kita berikan kerja
ini kepada warga negara asing, jumlah itu besar nilainya, boleh dikirim
ke kampung untuk perbelanjaan. Jadi, bagi anda yang inginkan kasut baru
atau duit minyak tambahan, boleh cuba aktiviti ini. Kalau malu jangan
lupa ajak rakan!
Kru sambilan
Kerja sampingan
ini antara yang paling menarik pandangan peribadi penulis. Ia bukan saja
memberi faedah dalam bentuk pendapatan, malah jika anda bijak mengambil
kesempatan, ia juga memberi faedah daripada segi ilmu dan pengetahuan.
Sekiranya mahu mencari pendapatan lebih dan dalam masa yang sama mahu
memburu ilmu, carilah peluang kerja hujung minggu dengan bertugas
sebagai kru atau petugas majlis.
Banyak syarikat dan golongan
profesional menganjurkan konvensyen berskala besar dan memerlukan jumlah
petugas yang ramai. Rebut peluang ini dan ambil manfaat daripadanya.
Petugas kru atau urus setia majlis kebiasaannya menerima habuan tidak
kurang daripada RM100 sehari dan bergantung pada tempoh sesuatu majlis
itu diadakan.
Guru tambahan
Skop kerja mengajar
ini kebiasaannya mendapat permintaan yang memberangsangkan daripada ibu
bapa yang berkerjaya dengan status sosio ekonomi kerana mereka
mempunyai kekangan masa. Permintaan daripada ibu bapa yang mahu anak
mendapat pengetahuan dan skil yang lebih intensif dan eksklusif di rumah
sebagai nilai tambah kepada aktiviti pelajaran di sekolah. Secara
purata bayaran yang ditetapkan seorang tutor berdasarkan subjek, tempoh
masa mengajar dan juga bergantung kepada tahap kecekapan anak tersebut.
Bayaran yang dikenakan untuk satu subjek secara purata kira-kira RM40
hingga RM60.
Pengasuh
Kerja alternatif duit
lebih ini masih belum di pandang serius masyarakat Malaysia, namun ia
mula menjadi pilihan akhir-akhir ini. Di negara Eropah, ramai pelajar
kolej atau universiti yang pulang menghabiskan waktu hujung minggu di
rumah ibu bapa masing-masing akan mengiklankan khidmat mengasuh
kanak-kanak untuk hari Sabtu dan Ahad.
Remaja mahupun sebarang
golongan umur individu yang tidak terikat dengan tugasan rutin pada
hujung minggu bersedia mengambil upah menjaga bayi atau kanak-kanak
sepanjang hujung minggu. Difahamkan, kadar bayaran yang dikenakan untuk
kerja mengasuh ialah mengikut hari iaitu antara RM35-RM40 sehari. Selain
itu, bayaran tambahan akan dikenakan sekiranya ibu bapa bayi atau
kanak-kanak meminta melakukan kerja sampingan lain seperti memasak
mahupun membawa anak ke taman permainan.
Jadi. mana satu pilihan anda?