Pendaki ceburi dunia lakonan


Berminggu lamanya wajah jejaka ini menghiasi kaca TV sebagai peserta program realiti Fear Factor Malaysia musim kedua (FFM2). Popularitinya kemudian semakin meningkat apabila dia muncul juara program berkenaan. Perlahan-lahan nama dan kelibatnya mencuri perhatian walaupun dia bukanlah selebriti.
Barangkali kehadirannya menarik tumpuan kerana nilai komersial yang ada pada rupa parasnya.

Dia sendiri tidak menduga impak yang bakal diterima hingga membawanya ke limpahan lampu glamor dunia hiburan tempatan.

Mohd Redha Rozlan atau Redha, 25, masih terlalu baru untuk mencerna percaturan dunia seni. Apalagi dengan niat asalnya hanya mahu menyertai FFM2 tidak lain disebabkan mahu menang di samping mencabar keupayaannya.

Mengenali lebih dekat anak jati Kuantan, Pahang ini, agak sukar juga mengatur masa terbaik mengadakan sesi fotografi dengannya. Tentu sekali dia masih terkial-kial menyusun jadual lantaran dirinya kini dalam senarai buruan pelbagai pihak.
Bahkan, sebelum dinobatkan juara kepada FFM2 bersama pasangannya Erin Malek pun empunya badan sudah disunting produksi serta melunaskan drama Jodoh. Baru tamat dengan penggambaran siri Manis juga tidak hairan jadualnya semakin padat.

Ternyata memang masih tebal rasa canggung padanya sewaktu memulakan bicara bersama Redha bila mana ketara di situ dia bergelut mengatur jawapan kepada soalan diberi. Namun, dia bersungguh-sungguh memberi jawapan terbaik biarpun kadang-kadang kurang pasti.

Sempat bercerita me­ngenai pengalamannya dalam program itu, segala yang dirancang dan disasarkan nampaknya tidak berjalan seperti dipinta. Apalagi gandingannya bersama Erin, dia mengakui sebenarnya tidak terfikir akan menjadi juara.

“Lulus saja uji bakat dan berjaya terpilih, saya menyenaraikan semua artis lelaki untuk digandingkan dalam program itu kelak. Saya rasakan itulah strategi terbaik untuk menang terutama sekali apabila membabitkan cabaran fizikal.

“Bila diumumkan bergandingan dengan Erin, saya sebenarnya agak kecewa, tapi jelas ada hikmah kerana keserasian antara kami sangat baik. Walaupun dia jenis banyak ragam takut itu-ini dan suka menangis, tapi satu hal mengenainya dia jenis tidak berputus asa.

“Dari segi cabaran pun memang mengejutkan kerana musim pertama semua cabaran aksi lasak saja. Namun, pada musim ini, kami dapat cabaran makan pula yang mana bagi saya itulah tugasan paling mencabar,” kata­nya.

Masih naif

Naif. Itulah gambaran tepat buatnya dan kerana itu terbit rasa was-was andai dia benar-benar sudah bersedia menempuh dunia glamor atau tidak. Apa hala tuju yang ditetapkannya sendiri dalam industri ini?

Jika di FFM2, baik cabaran lasak menguji fizikal hinggalah memakan bangkai haiwan mampu dilepasi, ironinya kata Redha dia lebih takut memasuki industri. Bukan bererti tidak ingin tapi timbul kegusaran apatah lagi bercakap pasal lakonan.

“Tiada langsung niat mahu terjun bidang lakonan sewaktu mendaftar masuk Fear Factor Malaysia. Pengalaman pun sifar dan itu yang terkejut apabila diberikan watak dalam drama tanpa diuji bakat sewaktu program berkenaan masih berlangsung.

“Lagilah terkejut apabila sudah menang dapat panggilan sana-sini untuk berlakon, fotografi dan lain-lain. Disebabkan itulah saya menjadi sedikit takut kerana sudah mencuba lakonan, ternyata ia satu benda yang sangat sukar.

“Ini semua baru untuk saya dan tidak terfikir langsung betapa susah sebenarnya menjadi pelakon kerana kena hafal skrip, bermain emosi dan harus sabar di lokasi penggambaran,” katanya yang terpaksa menolak satu tawaran baru-baru ini gara-gara kurang yakin mampu menggalasnya.

Terlanjur masuk dalam industri hiburan, dia memegang kata-kata azimat daripada beberapa orang agar tidak membazirkan ‘tiket ekspres’ itu. Lagipun, inilah masa­nya buat dia ‘buat duit’ dan alang-alang peluang sudah terbentang.

Namun begitu, dia me­ngakui bukanlah pembabitannya hanya kerana berpaksikan wang ringgit semata sebaliknya dia sendiri tidak mahu sia-siakan peluang itu. Dia sendiri ingin melihat sejauh mana dia akan pergi dalam industri.