Suami tangkap isteri, bekas pegawai polis khalwat

Sepang: Seorang bekas pegawai polis ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan isteri orang di kuarters polis di sini, semalam. Wanita berkenaan juga adalah seorang anggota polis.

Tangkapan dilakukan sendiri oleh suami wanita berkenaan ketika lelaki terbabit bersembunyi di sebalik timbunan pakaian di tepi katil dalam bilik rumah itu, kira-kira jam 1.20 pagi. Suami wanita itu juga seorang anggota polis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Mohd Yusoff Awang, yang mengesahkan tangkapan itu, berkata kes terbabit diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tindakan lanjut.

“Polis membuka fail tindakan disiplin terhadap polis wanita itu tetapi lelaki terbabit tidak tertakluk kepada tindakan disiplin kerana bukan lagi anggota polis.

Kes dikendali JAIS

“Kes akan dikendalikan oleh JAIS,” katanya ketika dihubungi semalam.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh suami wanita berkenaan, ketika pulang ke rumahnya, dia mendapati pintu rumah berkunci dari dalam sebelum dibuka oleh isterinya selepas diketuk.
Selepas memasuki rumah, pengadu menemui bantal serta selimut terbentang di ruang tamu, lalu mengesyaki ada yang tidak kena kerana isterinya kelihatan gelisah.

Pengadu kemudian membuat pemeriksaan bilik air dapur dan stor belakang serta bilik hadapan dan mendapati tiga anaknya sedang tidur.

Dia kemudian memeriksa bilik tengah dan selepas membuka lampu, melihat seorang lelaki berbaring di susunan pakaian di tepi katil. Isteri pengadu memberitahu lelaki itu adalah kawannya.

Berikutan itu, pengadu menahan lelaki terbabit serta isterinya dan membawa mereka ke Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi untuk membuat laporan.