Mitos minum air masak


Benarkah ia mampu turunkan berat badan?

Ramai percaya minum banyak air boleh membantu mencantikkan, melembapkan kulit dan melangsingkan badan.

Persoalannya, benarkah hanya dengan minum air masak ia boleh membantu anda memiliki tubuh dan kulit cantik, sihat dan cergas?
Ada kajian menunjukkan air berkhasiat terutama untuk mengurangkan berat badan adalah dongeng semata-mata, sebaliknya ia dikatakan hanya meningkatkan kalori pembakaran lemak.

Malah apabila seseorang minum air sejuk perubahan yang diterima tidak begitu ketara dan hanya membakar beberapa kalori saja. Banyak orang yang mengamalkan diet dengan banyak minum air.

Pakar Pemakanan Universiti Alabama, Dr Beth Kitchin, berkata minum air masak bukan kunci ajaib untuk menurunkan berat badan dan tampil langsing.

“Hanya sedikit bukti bahawa air yang diminum menurunkan berat badan, selebihnya ia kekal mitos,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan minum air tidak mendatangkan apa-apa manfaat, sebaliknya menjelaskan kajian menunjukkan orang yang minum lebih banyak air hanya berupaya membakar beberapa kalori tambahan saja untuk sehari.
“Memang badan perlukan cecair, tetapi tidak semestinya air saja. Tidak ada bukti ia larut dalam lemak atau membuat anda berasa lebih terisi. Jadi tidak apa jika tidak sukakan air, ia ok,” katanya.

Teh hijau, kopi terbaik

Beliau berkata, air kosong, teh hijau dan kopi adalah cecair terbaik untuk minum kerana boleh membantu proses pencernaan.

“Ramai orang fikir kopi tidak berkhasiat dan membuatkan orang sembelit, tetapi sebenarnya minum kopi menambahkan jumlah cecair dalam badan,” katanya.

Dr Kitchin berkata, sebenarnya salah satu cara terbaik mengurangkan berat badan ialah mengurangkan pengambilan makanan berkalori dan makan banyak buah-buah, sayur-sayuran dan sup.

Bagaimanapun, pandangan beliau bercanggah dengan penyelidikan pada tahun lalu, mendapati minum dua cawan air sebelum makan boleh membantu orang ramai mengurangkan berat badan.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition, mencadangkan minum air boleh mengurangkan kelaparan. - Agensi