Fizo Beri Penjelasan Tentang Amukan Pelanggan
By Info Blog at 8:31 PTG
Demam piala dunia kembali. Rata-rata sibuk menyokong pasukan kegemaran masing-masing. Tidak kurang juga Fizo Omar yang menyokong Spain. Manakala pasukan kedua kegemarannya ialah Brazil dan Argentina. Menurut Fizo, piala dunia tahun ini sukar dijangka kerana semua pasukan layak untuk bergelar juara.
“Jika dilihat kekuatan atau pasukan yang kuat adalah Brazil. Mereka mempunyai pemain yang kuat. Tetapi pasukan lain sebenarnya boleh juga buat kejutan. Ia bukan bergantung kepada nama pemain yang dikenali sebaliknya pasukan itu sendiri. Apa-apa pun saya mengharapkan supaya Brazil yang menjadi juara”.
Menyentuh perkembangan terkini, Fizo jarang dilihat di kaca TV. “Saya mahu berehat sebentar dalam dunia lakonan. In Sha Allah selepas raya saya kembali. Saya mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan Hot Burger saya. Saya baru sahaja membuka cawangan di belah selatan. Alhamdullilah semua berjalan dengan lancar seperti yang saya harapkan”.
Tudung Fareeda sebenarnya menjadi fenomena diluar jangkaan. Ramai yang bercerita tentang tudung tersebut dan tidak kurang juga cerita yang kurang enak. Secara kebetulan cerita mengenai Fizo dan Mawar dimaki oleh pelanggan tudung Fareeda, jadi kami tidak lepaskan peluang untuk menemubual tentang isu ini.
“Saya pun tidak tahu macam mana hendak mulakan. Tetapi sedikit sebanyak ia mengecewakan saya dan juga Mawar. Kami menggunakan kaedah ambil nombor dalam membuat pembelian tudung Fareeda. Setiap seorang hanya boleh membeli 2 helai sahaja. Nombor yang kami keluarkan sebanyak 2000 manakala tudung yang kami keluarkan pula 5000. Jadi tidak timbul ada diantara mereka yang tidak dapat membeli. Tudung Fareeda sememangnya ekslusif dan tidak akan ada ulangan cetak. Ini menjadikan semua pelanggan mahu mendapatkannya. Mugkin yang marah kepada kami itu tidak dapat tudung yang diinginkan ataupun warna kegemaran mereka tiada. Yang itu kami tidak boleh kawal kerana ia di luar jangkaan”.
“Ada juga antara mereka yang sanggup datang dari jauh, tidur di depan butik dan datang awal pagi. Saya hargai mereka semua tetapi saya tidak boleh menghalang daripada mereka lakukan sedemikian. Itu yang timbul kata kami tidak menjaga kebajikan mereka dan sepatutnya mereka juga perlu faham situasi kami. Tak akan kami perlu memberi tempat tinggal pula. Pada hari kejadian keadaan memang terlalu tegang dan ada juga yang pengsan. Kami pun tidak tahu hendak selesaikan masalah ini bagaimana kerana setiap hari kami fikir untuk memberi kesenangan bagi semua pihak. Tetapi tetap juga perkara yang sama berlaku. Cuma kami harap dengan kaedah yang baru yang bakal kami buat dapat memudahkan pelanggan dalam membuat pembelian tudung dan juga kami sendiri. Kami sedang berusaha membuat aplikasi di telefon bimbit untuk memudahkan mereka mengambil nombor secara online. Jadi tidak perlu untuk beratur panjang mahupun menunggu lama”.
“Selain dari itu saya dapat tahu ada diantara pelanggan yang membeli tudung Fareeda dan menjual dengan harga yang tinggi. Tudung Fareeda hanya berharga RM150. Jika ada harga selain dari itu bukan dari kami. Saya amat kecewa dengan perkara sebegini. Kita sama-sama dalam mencari rezeki jadi tidak seharusnya perkara sebegini berlaku. Nama tudung Fareeda juga yang buruk. Tetapi tidak mengapa, saya anggap ia sebagai cabaran dan dugaan buat kami”.
Walau apa pun yang berlaku baik Fizo dan Mawar, mereka menerima segala cabaran ini dengan hati yang terbuka dan positif. Mereka tidak akan mengalah malah akan sentiasa berusaha untuk berjaya dan maju kehadapan.