Lisdawati langgar pantang


Biar kehadiran bersama bayi yang baru berusia dua minggu pada sebuah majlis kelmarin mengundang tanda tanya, Lisdawati tidak melihat tindakannya itu memudaratkan diri mahu pun si kecil.

Selain mendapat kebenaran suami, Fauzi Nawawi, pelakon terbabit berasakan tubuhnya sudah semakin sihat hasil amalan berpantang yang ketat sebaik saja melahirkan anak ketiganya bersama aktor itu pada 14 Jun lalu.

“Pengalaman melalui dua kehamilan terdahulu serta penjagaan pada awal kelahiran membuatkan saya kembali bertenaga. Rutin minggu pertama memang ketat dengan berpilis, bertungku, berurut dan mandi herba, malah sekarang pun kami masih mengambil jamu bersesuaian untuk ibu menyusukan bayi.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Saya hadir hari ini secara sukarela kerana mahu memenuhi undangan penganjur, yang menghulurkan jemputan sebelum saya bersalin lagi. Kalau nak kata lepas gian keluar rumah pun iya juga kerana agak lama saya berkurung sebelum bersalin.

“Ada juga tetamu menunjukkan reaksi terkejut, tetapi selepas melihat keadaan diri saya, barulah mereka faham kenapa saya berani membawa bayi keluar. Sebaik saja majlis selesai, suami terus mengambil kami pulang. Apa pun terima kasih kepada yang prihatin,” katanya selepas majlis pelancaran Airish Miracle, Isnin lalu.

Bayi jadi tumpuan

Walaupun tidak ditemani Fauzi, Lisda atau nama sebenar, Nisdawati Nazaruddin, bertuah kerana sahabat baiknya, Lana Nodin, yang hadir bersama teman istimewa sentiasa berada di sisi.

Kelihatan tetamu lain juga tidak putus datang ke mejanya untuk bertanyakan khabar selepas mengetahui beliau baru dikurniakan cahaya mata dan tidak kurang mengambil peluang merakamkan aksi si comel.

Hanya tidur sepanjang cara dan sesekali merengek tanda haus atau kurang selesa, Lisda yang memaklumkan mahu memberikan permata hatinya susu badan secara eksklusif tampak cekap mengendalikan bayinya.

Peranan si ayah juga bagaimanapun sangat besar untuk perkembangan bayi mereka kerana walau sibuk dengan tugasan di lokasi penggambaran, Fauzi ringan tulang membantu menukarkan lampin andai punya kesempatan.

“Abang (Fauzi) rajin mendodoikan anak. Biar letih macam mana pun, anak-anak yang lebih dulu dicari kalau baru pulang daripada kerja, apatah lagi selepas berhari-hari ke luar daerah. Macam sekarang, kalau saya menyusukan bayi, beliau pula melakukan tugasan lain semata-mata mahu meringankan kerja saya di rumah,” katanya.