Klang: Tindakan seorang lelaki duduk mencangkung di tepi landasan
kereta api mengundang padah apabila mangsa terjatuh sebelum digilis
komuter hingga mati, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa Lim Yeong Kak, 29, dilihat
duduk di kawasan menunggu di Stesen Komuter Telok Pulai di sini, sebelum
dirempuh gerabak komuter dari arah Pelabuhan Klang menuju ke ibu negara
itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Goh Lee Fook berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa mengidap sawan dan berkemungkinan terjatuh akibat penyakit dialaminya.
Katanya, polis sudah mendapatkan keterangan beberapa individu termasuklah isteri mangsa.
“Isteri mangsa memberitahu, suaminya itu sudah beberapa kali terbabit dalam kemalangan disebabkan penyakit sawan dialami. Bagaimanapun, polis akan menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Husin Mat Amin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.15 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, sebuah jentera bomba bersama lima anggota dikejarkan ke
stesen berkenaan bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
“Ketika ditemui, bomba mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan parah di tangan. Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dilihat duduk mencangkung di kawasan menunggu di stesen itu.
“Mangsa tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik ketika bersama
penumpang lain di stesen berkenaan. Bagaimanapun, mangsa dikatakan jatuh
mendadak ke atas landasan ketika komuter tiba di stesen itu,” katanya.
Hussin berkata, walaupun komuter berkenaan tidak dipandu laju, mangsa didapati maut akibat patah tulang dan kecederaan parah di tangan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat.