Badang Pahang digeruni


Kuala Perlis: Berbaki dua hari sebelum temasya SUKMA Perlis 2014 berakhir, kelibat atlet angkat berat Pahang semakin digeruni lawan selepas berjaya memenangi 10 emas setakat ini.

Sasaran sebelum ini hanyalah enam emas, tetapi anak buah jurulatih Sapri Abd Latiff, Zakaria Yusof dan Mohd Azizul Hakim Kadir berjaya menggegar Kompleks Sukan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dengan julangan yang membolehkan mereka menuai 10 emas.

Mohd Shahrizal Abd Razak memenangi emas acara snatch lelaki bawah 52 kilogram (kg) manakala Mohd Taufiq Idzham Razali merangkul pingat sama dalam acara clean and jerk kategori sama.
 
Mohd Azroy Hazalwafi Izhar Ramli pula menjulang emas dalam acara snatch lelaki bawah 56kg manakala Mohd Azril Huzairi Ramli mencatat rekod baru SUKMA acara snatch dan clean and jerk kategori bawah 69kg.

Kecemerlangan Pahang diteruskan Khairul Anuar Mohd yang memenangi acara clean and jerk kategori bawah 77kg dan Mohd Fazrul Azri Mohdad mengungguli acara snatch dan clean and jerk kategori bawah 85kg.

Atlet angkat berat wanita Pahang, Siti Zaleha Yusof memenangi emas acara snatch dan clean and jerk kategori bawah 48kg.

Sapri berkata, sasaran mereka tahun ini adalah menjulang kembali nama Pahang dalam sukan itu selepas berjaya melahirkan atlet kebangsaan yang pernah beraksi di Sukan Komanwel, Amirul Hamizan Ibrahim.

“Kami pada awalnya tidak sangka dapat pingat emas sebanyak ini kerana pada temasya sebelum ini, kami hanya menang dua emas.

“Jumlah ini agak mengejutkan dan saya mengucapkan tahniah kepada semua atlet angkat berat Pahang kerana berjaya membuktikan kemampuan.

“Jika semuanya berjalan lancar, kami yakin dapat memacu gelaran juara keseluruhan angkat berat pada temasya kali ini,” jelasnya.