Portugal sedia 4.9 bilion euro untuk selamatkan bank terbesar

LISBON: Pihak berkuasa Portugal menyediakan dana menyelamat 4.9 bilion euro (RM21.2 bilion) untuk mengelakkan keruntuhan kumpulan perbankan terbesar dan tertua Eropah, Banco Espirito Santo.

Gabenor Bank of Portugal, Carlos Costa, berkata dana itu diperoleh daripada dana khas yang ditubuhkan ketika krisis kewangan zon euro baru-baru ini bagi membantu institusi kewangan bermasalah.

Langkah itu diputuskan selepas saham Banco Espirito Santo jatuh lebih 75 peratus minggu lalu. Saham kumpulan perbankan itu merudum selepas melaporkan kerugian 3.58 bilion euro (RM15.5 bilion) bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. Masalah membelenggu kumpulan itu terdedah selepas audit pada Mei lalu.

Masalah yang menimpa kumpulan perbankan itu menakutkan kalangan pelabur antarabangsa yang kini semakin curiga sama ada krisis kewangan di zon euro benar-benar sudah berakhir, malah ramai yang membayangkan lebih banyak masalah yang akan timbul selepas ini.

Costa berkata pihak berkuasa terpaksa campur tangan bagi mengelakkan masalah di bank itu merebak sehingga menjejaskan sistem kewangan Portugal.

Beliau berkata, program menyelamat itu akan memisahkan perniagaan berdaya maju kumpulan Banco Espirito Santo termasuk bahagian peruncitannya yang akan diletakkan dalam bank baru dikenali Novo Banco.

Menerusi gerak kerja itu, kakitangan bank dapat dipertahankan dan deposit pemegang akaun tidak terjejas.
"Suntikan dana kerajaan adalah pinjaman yang akan dibayar semula dengan faedah dan tidak membabitkan sebarang kos kepada pembayar cukai," katanya.

Costa berkata, kumpulan perbankan itu sudah melanggar peraturan kewangan dan bersalah kerana salah urus.

Keluarga Espirito Santo yang menjadi antara pemegang saham utama, memulakan perniagaan bank pada abad ke-19. Sebelum masalah dikesan pada Mei lalu, Banco Espirito Santo adalah bank terbesar negara itu.-AP