Giliran Mila Pula Berhijab

Penyanyi kecil molek Mila Jirin kini memanjangkan langkahnya dalam perniagaan. Jika sebelum ini dia mempunyai perniagaan restoran yang diberi nama Restoran Embun Urai, kemudian beralih pula kepada perniagaan baju kurung jenamanya sendiri iaitu MILLA dan yang terbaru perniagaan katering. Di bawah Bizmilla Catering & Servies, perniagaan ini sudah mula berkembang sejak enam bulan yang lalu. Bizmilla Catering lebih fokus kepada persediaan makanan untuk sebarang majlis terutama sekali majlis perkahwinan.

"Insya Allah pada 9 Ogos 2014 Bizmilla Catering dan Wedding Studio (Our Partner company) akan melancarkan Dewan Pengantin di Rooftop Garden Hotel,Bukit Jelutong, Shah Alam. Dewan tersebut diberi nama "Crystal Hall" serta boleh memuatkan aliran tetamu sebanyak 1,000 ke 1,500 orang. Yang bestnya pakej lengkap yang kami sediakan sangat menarik hanya RM25 satu kepala", tutur Mila.

Menurut Mila lagi, dia memilih untuk mencuba perniagaan katering kerana dia telah pun berada dalam dunia perniagaan makanan (Restoran Embun Urai) maka Mila mencuba langkah seterusnya dengan perniagaan katering pula. Melihat kecendurangan Mila di dalam bidang perniagaan, sebenarnya bidang seni tidak dilupakan sama sekali.

"Kerjaya dalam bidang seni tidak pernah Mila tinggalkan. Semenjak mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan pada tahun 2008, Mila cuba membahagikan masa sebaik mungkin untuk menguruskan kerjaya seni dan juga kerjaya perniagaan. Pada Mila, tak ada salahnya Mila menjalankan kedua-duanya selari selagi masih berkemampuan melaksanakan kedua-duanya".

Mila juga mempunyai impian iaitu untuk membesarkan lagi perniagaan sedia ada terutamanya membuka cawangan-cawangan perniagaan di beberapa negeri serta lokasi yang sudah ada dalam perancangan tahun hadapan.

Semenjak ramadan yang lalu ramai selebriti yang telah berhijrah dengan berhijab. Ia seolah-olah seperti trend tetapi sebenarnya suatu perubahan yang harus disokong. Mila sendiri sudah pun berhijab. Cantik manis sejak dia berhijab.

"Alhamdulillah, Mila sebenarnya sudah lama pasang niat untuk berubah ke arah yang lebih baik. Syukur kepada Allah SWT kerana pada Ramadhan tahun ini niat Mila benar-benar terlaksana. Mila bertudung kerana Allah dan bukanlah mengikut trend atau sekadar mencari publisiti. Disebabkan itu Mila tidak mahu heboh-hebohkan. Alhamdulillah Mila makin gembira dengan perubahan diri Mila sekarang".

Mila juga memberi pendapat mengenai ramai selebriti yang telah berhijrah. "Alhamdulillah. Sebenarnya pabila rakan-rakan artis lain berhijab serta berhijrah ianya adalah salah satu dakwah buat saya sedar serta ingin sama-sama berubah ke arah kebaikan. Ianya satu perkembagan sihat dan mana tahu, pabila seseorang artis itu berhijab, para peminat mereka yang tidak berhijab juga turut sama-sama berhijrah kearah kebaikan. Mila tidak pernah rasa ragu-ragu atau takut dengan pemikiran negatif sesiapa pun. Cumanya pada awal Mila hendak berhijab Mila tidak betul-betul buat persiapan yang rapi contohnya baju yang bersesuaian tidak banyak, tudung tidak cukup. Tetapi nasib baik mak Mila bagi tudung yang tidak dipakainya. Sehari selepas berhijab  terus Mila pergi mencari pakaian yang bersesuaian", cerita Mila panjang lebar.

Mila juga memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana mereka yang berada disekelilingnya menerima dengan hati yang terbuka terutama keluarganya. Mila turut berharap agar peminat akan terus menyokong kerjayanya.

Dalam pada itu, Mila juga bakal membuat pengambaraan video klip lagu terbarunya berjudul Boneka. "Insya Allah jika tidak ada halangan, pengambaraan video klip Boneka akan dilakukan dalam masa terdekat. Dan Insya Allah bulan hadapan lagu Boneka akan mula diedarkan ke stesen radio tempatan. Sebenarnya ada satu perkara yang merungsingkan Mila. Ini pertama kali video klip Mila berhijab dan Mila pening untuk memilih pakaian dan fesyen yang bersesuaian. Gementar pun ya juga", kata Mila mengakhiri perbualan.