Arja Lee Sambut Raya Buat Pertama Kali Tanpa Ibu


Kehilangan orang yang disayangi terutama ibu, pasti dirasai lebih-lebih lagi apabila kita akan menyambut lebaran nanti. Keletah ibu di dapur, sibuknya ibu tatkala menyediakan hidangan untuk tetamu pasti dirindui.

Begitu juga dengan Arja Lee yang kehilangan ibu tercinta pada tahun lepas. "Memang sangat lain. Selama 29 tahun saya menyambut hari raya bersama arwah tetapi tahun ini tidak. Tetapi saya kena ingatkan diri supaya redha dan terima kenyataan. Ia sememangnya perit tetapi saya perlu lebih tabah. Saya akan sentiasa buat sesuatu seperti doa selamat, tahlil untuk arwah. Itu sahaja yang saya boleh buat sebagai hadiah untuk arwah".

Seperti suatu ikutan apabila ramai selebriti yang mengeluarkan jenama sendiri lebih-lebih lagi musim perayaan. Arja tidak lepaskan peluang menjual kuih raya yang diberi nama Arja Cookies. Mempunyai lima jenis iaitu tart nenas, almond London, hazelnut cookies, crispy  choc chip dan moist dark choc. Dijual secara online, permintaan amat menggalakkan.

Arja juga ada kenangan yang kelakar semasa Hari Raya. "Saya seorang yang nakal semasa kecil sebenarnya lebih-lebih lagi saya anak bongsu. Masa itu umur saya 8 tahun. Mak saya sedang masak ketupat dan saya yang baik ini tidak semena-mena masukkan minyak tanah dalam bekas kawah yang mak saya tengah masak", kata Arja yang akan beraya di rumah kakaknya di Cheras.

Bersempena  lebaran ini, Arja memohon kemaafan dari semua kenalannya. "Saya tidak ada ucapan khas tetapi saya mahu semua buang yang keruh dan ambil yang jernih. Kita sama-sama bersihkan hati di bulan yang mulia ini. Kosong-kosong ok?".