Kuantan : Empat individu termasuk seorang ahli perniagaan berstatus
Datuk ditahan, semalam bagi membantu siasatan kes tembak seorang lelaki
di Jalan Zainal Abidin, Mentakab, Jumaat lalu.
Sumber berkata, semua individu terbabit berusia antara 22 hingga 48
tahun ditahan di tiga lokasi berasingan di Kuala Lumpur dan Temerloh.
Katanya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Daerah Temerloh menyerbu sebuah rumah di Taman Melawati, Kuala Lumpur jam 6 pagi dan menahan sepasang suami isteri.
Katanya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Daerah Temerloh menyerbu sebuah rumah di Taman Melawati, Kuala Lumpur jam 6 pagi dan menahan sepasang suami isteri.
Menurutnya, siasatan mendapati pasangan itu meminjamkan Perodua Viva kepada suspek utama kes seorang lelaki Indonesia.
Beliau berkata, hasil soal siasat membawa penahanan suspek berasal dari Jawa Timur, Surabaya, Indonesia berusia 35 tahun di sebuah rumah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan penemuan pistol jenis Revolver .38 disyaki digunakan untuk menembak mangsa.
Katanya, suspek mengaku disuruh menembak mangsa oleh lelaki warga Thailand yang dikatakan menerima arahan daripada ahli perniagaan berusia 48 tahun terbabit.
Laporan Bernama yang memetik Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, polis percaya motif kejadian ialah lelaki bergelar Datuk tidak berpuas hati dengan mangsa yang menuntut hutangnya sebanyak RM350,000.
Sumber itu berkata, polis menahan ahli perniagaan berusia 48 tahun itu di rumahnya di Taman Bahagia Permai, Temerloh, 10 pagi semalam selepas mendapat maklumat daripada ketiga-tiga suspek.
Dalam kejadian pada jam 8.15 malam Jumaat lalu, mangsa M Munikrishnan, 37, dari Taman Bukit Bendera, Mentakab parah selepas terkena dua das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa ditegur seorang lelaki yang bertanya sesuatu ketika berjalan menuju ke arah kenderaannya.
Namun, selepas berbual kira-kira lima minit, suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan dua das tembakan ke arah rusuk kiri mangsa.
Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan polis menunggu dia pulih bagi merekodkan keterangan untuk tindakan lanjut.